Saturday, May 17, 2008 | By: Anjung Hikmah

Resepi Bubur Lambuk

SEAKAN MENJADI kebiasaan rakan-rakan saya, sekitar dua tahun ini, meminta saya mengajar dan membuat bubur apabila berkunjung ke rumah sewa lama yang bertempat di Murur, Mansurah. Mungkin kerana dulunya apabila rumah di tingkat atas sudah siap dan disewa oleh rakan-rakan kuliah dari Malaysia (saya menyewa di tingkat dua), saya sering menjamu mereka dengan bubur bila saja berkesempatan. Memandangkan penggunaan bahan yang murah dan jimat maka tidak menjadi masalah untuk saya masak lebih. Resepi bubur ini amat menyihatkan kerana kandungan sayurnya yang banyak yang membekalkan zat-zat vitamin dan membantu proses pencernaan serta sedikit penggunaan beras sebagai sumber karbohidrat. Selain itu kandungan bubur ini adalah kurang lemak kerana tidak menggunakan santan sebagai bahan asas. Rasanya pun jauh lebih ringan dan agak berbeza bagi mereka yang menggemari bubur lemak atau bubur santan tadi. Ia juga amat sesuai bagi mereka yang ingin berdiet.

Rupa bubur lambuk yang telah siap dimasak.

Atas permintaan sahabat-sahabat, di sini saya perturunkan resepi “Bubur Lambuk ala Mesir” di blog ini. Saya namakan bubur ini sebagai “Bubur Pelangi” kerana warnanya yang pelbagai. Resepi asalnya digubah daripada ‘kumpulan resepi bonda’ yang telah diperturunkan oleh bonda saya memandangkan ketiadaan bahan asas sebagaimana yang terdapat di Malaysia.

Bahan-bahan :

1) Bahan tumis.

  • Thaum (dikisar).
  • Basol (dikisar).
  • Janzabil (dikisar/serbuk).
  • Filfil asmar atau filfil aswad (ditumbuk/serbuk).
  • Halba.

2) Bahan sayur.

  • Kacang buncis.
  • Fasolia.
  • Jazar.
  • Sabanieh (sebahagian kami menggelarkannya sebagai ‘kangkung Mesir’).

3) Bahan lauk.

  • Daging / ayam.
  • Telur (digoreng hancur).

4) Sardin tuna hancur (dijual dalam tin leper).

5) Beras (dibasuh dan ditoskan).

6) Air.

Kaedah memasak :

  • Tumiskan thaum, basol dan janzabil dahulu hingga naik bau. Kemudian masukkan filfil asmar dan halba.
  • Masukkan daging atau ayam. Tutup periuk dan besarkan api untuk seketika.
  • Masukan beras dan air. Tunggu sehingga menggelegak.
  • Kemudian masukkan kacang buncis, fasolia dan jazar.
  • Setelah itu masukkan telur dan sardin tuna. Gaulkan seketika hingga sebati.
  • Masukkan sayur daun (sabanieh).
  • Apabila hampir masak, masukkan bahan perasa seperti garam dan gula secukupnya.
  • Tutup api ketika keadaan nasi hampir hancur dan hidangkan.


Petua :

  • Sukatan beras dan air ialah: ½ cawan beras bersamaan lima cawan air. Ini adalah sukatan asas bagi membuat apa-apa jenis bubur yang lain seperti bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam. Perhatian: agar lebih mudah, sukat periuk dengan cawan berisi air terlebih dahulu bagi mengetahui kuantiti beras dan air yang perlu digunakan.
  • Memandangkan kebiasaannya sabanieh hanya dijual pada musim sejuk, boleh digantikan dengan sayur khasm (batang dibuang dan diambil daun saja) atau daun ‘inab.
  • Kacang buncis, fasolia dan jazar boleh dibeli di pasar raya dalam paket siap bungkus atau diganti dengan paket sayur campur yang lain.
  • Bagi yang berminat dengan makanan laut, boleh menambah bahan seperti sotong, udang dan ikan panggang yang diambil isinya. Anda juga boleh menambah keropok keping yang masih belum digoreng dalam resepi bubur anda.
  • Untuk menjadikan bubur anda lebih wangi dan berseri, boleh masukkan serbuk kunyit dan serai (dikisar bersama bawang) dalam masakan.
  • Mereka yang sukakan kiub ayam juga memasukkannya bagi menambahkan perisa bubur.
  • Jangan biarkan api terlalu besar ketika masakan mulai menggelegak kerana ia akan menyebabkan nasi menjadi hancur sepenuhnya.

Selamat mencuba dan menjamu selera!


Glosari :

Thaum : bawang putih
Basol : bawang besar
Janzabil : halia
Filfil asmar
atau filfil aswad: lada hitam
Fasolia : kacang peas
Jazar : lobak
Sabanieh : sejenis sayur berdaun, rasanya seperti kangkung apabila dicelur dan ada sebahagian rakan yang mengatakan ia adalah bayam
Khasm : sejenis sayur berdaun seperti salad yang menggantikan sawi di sini.
‘Inab : anggur.

0 comments: