Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts
Friday, January 7, 2011 | By: Anjung Hikmah

Resepi lagi...

SAYA MENJADI kurang pasti untuk menulis sebarang catatan dalam tempoh terdekat ini. Sudah lama hanya menulis di kanvas hati dan cuba merakam dengan ‘minda merdeka’ yang kemudiannya sering hilang bila berlaku cubaan menjengah ke jendela blog. Hal yang membuatkan saya sekadar tegar sebagai pembaca dan pemikir pada catan-catan huruf milik karyawan lain.

Isi tulisan kali ini pasti kurang menarik minat sesiapa. Pertama kerana saya sudah lama tidak bersenam hingga menyebabkan otot-otot fikiran saya semakin lesu sementelahan jari-jemari saya telah bertukar menjadi obes sehingga kaku untuk menari dengan cekap dan laju di papan kekunci komputer. Kedua kerana isu yang cuba digarapkan tidak penting melainkan hanya bakal memenuhi kantung perut lebih daripada kantung fikir. Almaklumlah rasanya banyak penjejak ke blog ini pun adalah kerana mencari dan mengadap conteng-conteng resepi yang pernah dihadap dan dilahap suatu ketika di Mesir dulu. Kelesuan saya untuk muncul dan memindahkan anasir dakwah serta input berguna kepada diri sendiri boleh juga menjadi penyebab kepada teratak ini semakin usang, reput dan berhantu (yang sememangnya luar konteks dan tak ada kaitan dengan tahyul 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'). Mujahadah yang tinggi diperlukan sewaktu berkarya, sesuatu yang kini semakin jarang saya miliki menyebabkan saya tidak lagi tersenarai sebagai mujahid ulung dalam bidang ini sebarisan bersama teman-teman yang lain. Sememangnya saya berusaha agar tidak gugur dari perjuangan dengan melakukan aktiviti kecil-kecilan. Apapun mungkin juga dek kebelakangan ini terlibat dengan salah satu aktiviti semasa berada di Mesir maka dapatlah  jua saya gagahi kekejangan diri untuk berkongsi bait-bait bisu di hamparan blog ini.

Oklah... sebagaimana Rasulullah s.a.w. berpesan tentang sebaik-baik amal adalah yang sedikit tetapi berterusan daripada amal yang banyak tetapi jarang-jarang, maka saya pun tak mahulah berceloteh panjang pada kali ini. Hanya menunaikan permintaan seseorang yang mahukan resepi untuk digunakan di Mesir (maaf ya... sebenarnya saya dah berada di Malaysia ketika ini). Cuma andai bukan blog ini yang pernah saudara itu buka maka alamatnya besarlah rupa-rupanya perasan saya di sini... (haa... jangan gelak untuk siapa-siapa, ok!).

Dulu saya memang teringin nak tampal resepi ini dalam blog kerana ada jugalah zikrayat sesikit di situ. Namun kerana saya gagal mendapatkan gambar yang sesuai bagi dijadikan bahan bukti untuk sesiapa yang tak pernah jumpa dengan benda alah ini, maka malaslah saya melebih-lebih. Tambahan pula adinda-adinda saya sudah terlalu handal menjadi chef dan sudah ada yang mempunyai chef peribadi seperti saya, maka semangat menampal resepi tiadalah sehangat dulu-dulu. Hingga kinipun saya tak ada gambar untuk memperkenalkan benda alah tersebut bagi menambahkan thaqafah pembaca budiman. Sekadar bersandar kepada zaman serba canggih ini, maka saya persilakan pembaca budiman membuat kajian lapangan sendiri, ya!

* Insyaallah... jika ada kelapangan saya akan gantungkan coretan tersebut nanti.



Sayur Mulukhiar

Bahan-bahan :

(Rencah)
- Thaum,
- Filfil asmar,
- Janzabil,

- Minyak masak,
- Mulukhiar, diambil daun dan boleh juga bahagian batangnya yang lembut. Terdapat juga mulukhiar yang dijual kering dalam bentuk mathun di Mesir. Terpulang bagaimana citarasa anda, ok.
 

Aturan :

- Thaum, filfil asmar dan janzabil ditumbuk halus. Di Mesir anda boleh dapatkan filfil asmar dan janzabil dalam bentuk mathun jika anda tidak mempunyai lesung batu. Apapun anda memang tidak boleh mendapatkan thaum dalam bentuk yang sama -melainkan jika memang anda malas ke pasar- tetapi boleh cuba memotong atau meracip halus. Ah ya… memasukkan janzabil dalam resepi ini rasanya datang daripada kegemaran saya. Jika tidak berminat, anda bolehlah abaikan.

- Panaskan minyak dalam periuk dan tumis rencah sehingga naik bau. Masukkan air setengah periuk dan tunggu sehingga mendidih. Apabila mendidih, masukkan daun mulukhiar. Taburkan gula dan garam (juga serbuk perasa bagi yang gemarkannya) secukup rasa. Tutup api setelah masak.


Petua :

- Masyarakat Arab lebih gemar mengisar halus sup mulukhiar ini supaya senang dihirup. Namun saya lebih suka mulukhiar dalam bentuk asal (berdaun) sebagaimana resepi yang diperkenalkan oleh ayahanda saya.

- Masyarakat Arab juga kerap memasukkan 'lisan usfur' dalam syurbah mereka. Ia mungkin sejenis herba masakan yang saya lupa bertanyakan kepada pemilik toko sewaktu berada di Mesir. Jadi saya tak mampu mengungkapkan apa sebenarnya lisan usfur di sini melainkan memang rupanya seperti lidah merpati, lembut dan sedap di makan bersama. Memadailah saya nyatakan bahawa jika minat mencuba, tiada salah anda memasukkan lisan usfur tersebut dalam mulukhiar anda.

- Bagi menyedapkan lagi syurbah mulukhiar anda, cuba masukkan udang kering dalam rencah semasa menumbuk tadi. Sengaja tak saya sebutkan awal kerana saya tahu di Mesir memang tiada dijual melainkan hanya di koperasi atau kedai negeri atau DPM sementelahan anda juga mungkin tidak membawanya sebagai bekal ketika mahu berpijak di negara orang. Bimbang jika anda kecur air liur mengalahkan perempuan mengandung sedangkan bahannya tiada. Namun saya tidak dapat menjamin rasanya masih kekal sedap seperti asal jika anda mencampurkan belacan sebagai ganti udang kering kerana selain belum pernah mencuba saya kira Arab pun tak pernah buat macam anda!

- Perkara mustahak yang anda perlu tahu ialah resepi mulukhiar ini terletak pada betapa likat dan berlendirnya syurbah ini. Hatta dikatakan bahawa anak dara Arab pun tak lulus untuk berumahtangga jika tidak tahu memasak mulukhiar dengan betul. Wallahu a’lam. Anda boleh tanya mereka sendiri sambil-sambil belanja mereka minum atau makan. Maka hendaklah anda pandai-pandai budget biarpun RM111b sanggup dibelanjakan -(baca: dibazirkan) untuk budak-budak yang belum tentu lagi jadi manusia mengikut budget 2011 berbanding dengan yang tengah berebut nak masuk universiti tapi tak kesampaian kerana miskin semasa meletakkan dedaun mulukhiar di dalam periuk berbanding air. Jika air terlalu banyak maka alamatnya cairlah syurbah anda dan hilanglah kenikmatannya. Anda kena rajin mengutip daunnya meskipun terasa malas ketika mahu 'menyiang', merendam dalam air garam bagi menjatuhkan benda asing yang halus seperti pasir dari daunnya dan terasa sudah terlalu banyak tatkala mahu menyumbat ke dalam periuk. Percayalah hasilnya nanti sangat sedap dan berbeza dengan apa yang anda telah fikirkan sebelumnya. Pandai-pandailah, ya. Kan anda semakin bebas menginjak dewasa dan sudah bisa berfikir sendiri. Namun jika anda seorang yang kurang atau tidak menggemari sayur maka amat malanglah sedari tadi anda mengikuti resepi ini kerana tiada hasil tambah yang mungkin anda perolehi melainkan kebencian dan suatu lagi nilai tolak dalam diri anda tatkala berada di negara orang.

- Bonda saya menyebut bahawa bahan likat yang terdapat dalam resepi mulukhiar ini ialah selulosa yang sebagaimana terdapat dalam bendi. Ia berfungsi sebagai bahan pelawas yang dapat membantu pesakit sembelit meredakan penderitaan mereka. Kerana itu amat rugi jika anda tidak berjaya menyerlahkan kehadiran bahan likat ini sewaktu menyediakannya di atas api.

Rupa pohon mulukhiar (kebetulan terjumpa 
dari sebuah laman masa nak posting)
- Ada orang cakap, selain daun jarjil, mulukhiar ini juga adalah resepi hebat (power) sehingga pak-pak Arab masih mampu menimang cahaya mata meskipun lanjut usia mereka. Anda percaya? Terserahlah sebab saya sedari sekolah menengah telah menelan resepi ini sebelum ke Mesir (ayahanda menanamnya. Anda juga boleh beli benihnya di kedai dan kemudian cubalah tanam di belakang atau di tepi rumah semasa pulang bercuti nanti, ok) tapi biasa-biasa saja.

- Semasa menyediakan mulukhiar ini, anda boleh juga memasukkan potongan daging, ayam, cebisan keropok keping atau bilis bagi menambahkan variasi syurbah anda. Ia dapat membantu mengembalikan keceriaan dan motivasi diri tatkala sunyi, dan rindu mula bertandang di hati lantaran jemu dengan masakan sendiri yang tak sedap, letih berada di negara orang yang sememangnya tak sama dengan di negeri sendiri serta hubungan sesama teman serumah yang semakin meruncing dek salah faham yang kecil. Namun jika anda seorang yang berfikiran vertikal, sila abaikan saranan ini kerana saya andaikan ia tidak memberi sebarang makna kepada anda.

- Hidangkan resepi ini bersama nasi putih dan anda bebas melantak bersama ikan goreng yang masih berasap. Rasanya saling tak tumpah seperti 'meranggos' bersama ikan singgang... terutama jika ada budu dan tempoyak. Alamat pensyarah lalu pun tak perasan (sekadar bidalan gantian yang mungkin lebih comel untuk warga mahasiswa yang jauh dari mak ayah dan mentua).


Resepi ini sebenarnya hanya membantu menambahkan kehangatan tubuh dengan adanya bahan-bahan seperti filfil asmar dan janzabil. Sebarang kehangatan lain seperti pedas telinga kerana mereguk ocehan-ocehan yang berlebihan di sini sangatlah saya kesali. Saya tersangatlah tidak mahu mewarisi bakat tersebut sebagaimana yang mungkin ada pada sesetengah chef kita. Mungkin sudah lama tidak mencoret, maka karat-karat masih tebal menyelaputi minda saya sehingga gagal membezakan apa yang perlu dan tidak dalam artikel ini kelak KELAP dan AKAR umpamanya mungkin boleh mengadakan bengkel untuk membedah genre artikel resepi sebagai bonus dan variasi tambahan.

Sekian dahulu pertemuan kali ini. Sekadar meminjam ayat skema dalam persuratan, maka saya memohon ampun dan maaf atas penampilan baru ini dengan sebarang kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak. Semoga Allah mengampuni diri saya dan anda semua. Salam Mujahadah 1432H buat semua!


Glosari :
 
Zikrayat   - kenangan.
Thaqafah   - pengetahuan.
Thaum   - bawang putih.
Filfil asmar   - lada hitam.
Janzabil   - halia.
Mathun   - dikisar / serbuk.
Lisan usfur   - sejenis herba yang kelihatan seperti lidah merpati. Kebiasaannya dicampurkan dalam sup.
Syurbah   - sup.
Friday, May 30, 2008 | By: Anjung Hikmah

Hidangan Tengah Malam dan Resepi Salatah

SUDAH BEBERAPA MALAM dalam minggu ini kami menerima hidangan tengah malam dan menurut adik keenam saya semalam adalah yang terakhir. Hidangan tersebut merupakan lebihan makanan yang dimasak kepada rombongan jemaah umrah Malaysia yang singgah berziarah ke Mesir. Tidak pula saya ketahui sama ada mereka akan ataupun telah selesai mengerjakan umrah, rombongan dari agensi mana, jumlah ahli dan maklumat-maklumat lain lagi kerana tiada siapa yang dapat menjelaskan perkara tersebut. Biarpun agak lewat hidangan yang berlebihan tersebut dihantar ke asrama Terengganu, iaitu sekitar antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, namun kami amat bersyukur dan khususnya saya sendiri kerana berpeluang merasai hidangan yang sedap.


Juadah pada malam Khamis yang lalu.


Apapun saya kira saya perlu berhati-hati apabila menjamah sambal berlada. Sememangnya saya menggemari jenis-jenis pencicah dan sambal seperti sambal belacan dan budu (apatah lagi jika dicampur dengan tempoyak) yang dimakan bersama nasi beserta ikan. Tetapi mungkin atas faktor usia semakin lanjut, saya perlu menghadkan jenis makanan pedas dan sambal pencicah ini bagi mengelakkan perut meragam. Suatu keadaan yang amat berbeza berbanding di kala saya masih muda dahulu. Apapun saya kira jika dapat makan sayuran dalam kuantiti yang banyak (buah-buahan pun boleh juga) maka masalah tersebut boleh diatasi. Kebetulan dalam juadah malam Khamis lalu terselit sambal belacan dan dek jarang bersua maka saya terlupa untuk ‘berpantang’ sedikit. Akibatnya pada keesokan hari saya terpaksa berulang kali masuk ke daurul miyah. :P

Bercerita tentang sayuran, terdapat sejenis adunan sayuran campuran yang disediakan oleh masyarakat tempatan di sini. Saya telah lama ingin mempelajari resepi tersebut tetapi tidak mengetahui akan bahan-bahan ramuannya. Setelah puas menyiasat dan memerhatikan kaedah orang-orang Arab di sini menyediakan beberapa hidangan maka hasilnya baru-baru ini saya dapat jua membuat sendiri sayuran campuran tersebut. Ia dipanggil salatah dan biasanya dimakan bersama firakh masywi atau dengan sandwichat ‘isy dan to’miyyah.

Sangat mudah menyediakan salatah ini. Memandangkan ia tidak perlu dimasak, saya kira ia termasuk dalam kumpulan ulam dalam hidangan. Selain membekalkan zat vitamin dan zat cahaya matahari daripada sumber primer, ia juga dapat menghilangkan rasa muak ketika makan. Bagi mendapatkan rupa awet muda, mengamalkan pemakanan sayur-sayuran termasuk ulam seperti salatah ini juga menjadi salah satu petuanya. Untuk rakan-rakan yang ingin mencuba sendiri resepi tersebut, di sini saya kongsikan bahan-bahan ramuannya.

Salatah.


Resepi salatah.
Bahan-bahan:

1 ikat daun jarjil.
1 ikat daun kusbarah.
1 ikat daun ba’donis.
1 batang khiar.
1 biji cabai gajah.
2 biji tomato.
Sedikit garam.

Aturan:
Potong semua bahan di atas dan kumpulkan semuanya dalam sebiji mangkuk. Kemudian taburkan garam secukup rasa. Gaul dan hidangkan.

Petua:
1) Cara memotong bahan-bahan adalah mengikut jenis hidangan. Sekiranya dihidangkan bersama:
- isy dan to’miyah – adalah sesuai dipotong sederhana halus.
- firakh masywi – dipotong kasar.
2) Hidangan ini juga sesuai dijadikan ulam bersama nasi
.

Dari kiri: daun ba'donis, daun kusbarah dan daun jarjil.


Nota: Saya pohon kemaafan kerana kurang arif nama lain dalam bahasa Melayu bagi daun jarjil dan ba’donis serta kewujudan daun-daun tersebut -ditanam atau dijual- di Malaysia. Apapun ayahanda saya memang ada menanam daun jarjil di rumah kerana saya pernah membawa pulang benihnya ketika pulang ke Malaysia tak lama dulu.

Glosari:
Daurul miyah : bilik air.
Salatoh : sejenis makanan daripada sayuran, acar.
Firakh : ayam.
Masywi : panggang, bakar.
Sandwichat : sandwich.
‘Isy : roti.
Jarjir : disebut gargil mengikut loghat Mesir, sejenis sayuran berkhasiat yang pahit rasanya.
Kusbarah : ketumbar.
Khiar : timun.

Saturday, May 17, 2008 | By: Anjung Hikmah

Resepi Bubur Lambuk

SEAKAN MENJADI kebiasaan rakan-rakan saya, sekitar dua tahun ini, meminta saya mengajar dan membuat bubur apabila berkunjung ke rumah sewa lama yang bertempat di Murur, Mansurah. Mungkin kerana dulunya apabila rumah di tingkat atas sudah siap dan disewa oleh rakan-rakan kuliah dari Malaysia (saya menyewa di tingkat dua), saya sering menjamu mereka dengan bubur bila saja berkesempatan. Memandangkan penggunaan bahan yang murah dan jimat maka tidak menjadi masalah untuk saya masak lebih. Resepi bubur ini amat menyihatkan kerana kandungan sayurnya yang banyak yang membekalkan zat-zat vitamin dan membantu proses pencernaan serta sedikit penggunaan beras sebagai sumber karbohidrat. Selain itu kandungan bubur ini adalah kurang lemak kerana tidak menggunakan santan sebagai bahan asas. Rasanya pun jauh lebih ringan dan agak berbeza bagi mereka yang menggemari bubur lemak atau bubur santan tadi. Ia juga amat sesuai bagi mereka yang ingin berdiet.

Rupa bubur lambuk yang telah siap dimasak.

Atas permintaan sahabat-sahabat, di sini saya perturunkan resepi “Bubur Lambuk ala Mesir” di blog ini. Saya namakan bubur ini sebagai “Bubur Pelangi” kerana warnanya yang pelbagai. Resepi asalnya digubah daripada ‘kumpulan resepi bonda’ yang telah diperturunkan oleh bonda saya memandangkan ketiadaan bahan asas sebagaimana yang terdapat di Malaysia.

Bahan-bahan :

1) Bahan tumis.

  • Thaum (dikisar).
  • Basol (dikisar).
  • Janzabil (dikisar/serbuk).
  • Filfil asmar atau filfil aswad (ditumbuk/serbuk).
  • Halba.

2) Bahan sayur.

  • Kacang buncis.
  • Fasolia.
  • Jazar.
  • Sabanieh (sebahagian kami menggelarkannya sebagai ‘kangkung Mesir’).

3) Bahan lauk.

  • Daging / ayam.
  • Telur (digoreng hancur).

4) Sardin tuna hancur (dijual dalam tin leper).

5) Beras (dibasuh dan ditoskan).

6) Air.

Kaedah memasak :

  • Tumiskan thaum, basol dan janzabil dahulu hingga naik bau. Kemudian masukkan filfil asmar dan halba.
  • Masukkan daging atau ayam. Tutup periuk dan besarkan api untuk seketika.
  • Masukan beras dan air. Tunggu sehingga menggelegak.
  • Kemudian masukkan kacang buncis, fasolia dan jazar.
  • Setelah itu masukkan telur dan sardin tuna. Gaulkan seketika hingga sebati.
  • Masukkan sayur daun (sabanieh).
  • Apabila hampir masak, masukkan bahan perasa seperti garam dan gula secukupnya.
  • Tutup api ketika keadaan nasi hampir hancur dan hidangkan.


Petua :

  • Sukatan beras dan air ialah: ½ cawan beras bersamaan lima cawan air. Ini adalah sukatan asas bagi membuat apa-apa jenis bubur yang lain seperti bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam. Perhatian: agar lebih mudah, sukat periuk dengan cawan berisi air terlebih dahulu bagi mengetahui kuantiti beras dan air yang perlu digunakan.
  • Memandangkan kebiasaannya sabanieh hanya dijual pada musim sejuk, boleh digantikan dengan sayur khasm (batang dibuang dan diambil daun saja) atau daun ‘inab.
  • Kacang buncis, fasolia dan jazar boleh dibeli di pasar raya dalam paket siap bungkus atau diganti dengan paket sayur campur yang lain.
  • Bagi yang berminat dengan makanan laut, boleh menambah bahan seperti sotong, udang dan ikan panggang yang diambil isinya. Anda juga boleh menambah keropok keping yang masih belum digoreng dalam resepi bubur anda.
  • Untuk menjadikan bubur anda lebih wangi dan berseri, boleh masukkan serbuk kunyit dan serai (dikisar bersama bawang) dalam masakan.
  • Mereka yang sukakan kiub ayam juga memasukkannya bagi menambahkan perisa bubur.
  • Jangan biarkan api terlalu besar ketika masakan mulai menggelegak kerana ia akan menyebabkan nasi menjadi hancur sepenuhnya.

Selamat mencuba dan menjamu selera!


Glosari :

Thaum : bawang putih
Basol : bawang besar
Janzabil : halia
Filfil asmar
atau filfil aswad: lada hitam
Fasolia : kacang peas
Jazar : lobak
Sabanieh : sejenis sayur berdaun, rasanya seperti kangkung apabila dicelur dan ada sebahagian rakan yang mengatakan ia adalah bayam
Khasm : sejenis sayur berdaun seperti salad yang menggantikan sawi di sini.
‘Inab : anggur.