Friday, May 30, 2008 | By: Anjung Hikmah

Hidangan Tengah Malam dan Resepi Salatah

SUDAH BEBERAPA MALAM dalam minggu ini kami menerima hidangan tengah malam dan menurut adik keenam saya semalam adalah yang terakhir. Hidangan tersebut merupakan lebihan makanan yang dimasak kepada rombongan jemaah umrah Malaysia yang singgah berziarah ke Mesir. Tidak pula saya ketahui sama ada mereka akan ataupun telah selesai mengerjakan umrah, rombongan dari agensi mana, jumlah ahli dan maklumat-maklumat lain lagi kerana tiada siapa yang dapat menjelaskan perkara tersebut. Biarpun agak lewat hidangan yang berlebihan tersebut dihantar ke asrama Terengganu, iaitu sekitar antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, namun kami amat bersyukur dan khususnya saya sendiri kerana berpeluang merasai hidangan yang sedap.


Juadah pada malam Khamis yang lalu.


Apapun saya kira saya perlu berhati-hati apabila menjamah sambal berlada. Sememangnya saya menggemari jenis-jenis pencicah dan sambal seperti sambal belacan dan budu (apatah lagi jika dicampur dengan tempoyak) yang dimakan bersama nasi beserta ikan. Tetapi mungkin atas faktor usia semakin lanjut, saya perlu menghadkan jenis makanan pedas dan sambal pencicah ini bagi mengelakkan perut meragam. Suatu keadaan yang amat berbeza berbanding di kala saya masih muda dahulu. Apapun saya kira jika dapat makan sayuran dalam kuantiti yang banyak (buah-buahan pun boleh juga) maka masalah tersebut boleh diatasi. Kebetulan dalam juadah malam Khamis lalu terselit sambal belacan dan dek jarang bersua maka saya terlupa untuk ‘berpantang’ sedikit. Akibatnya pada keesokan hari saya terpaksa berulang kali masuk ke daurul miyah. :P

Bercerita tentang sayuran, terdapat sejenis adunan sayuran campuran yang disediakan oleh masyarakat tempatan di sini. Saya telah lama ingin mempelajari resepi tersebut tetapi tidak mengetahui akan bahan-bahan ramuannya. Setelah puas menyiasat dan memerhatikan kaedah orang-orang Arab di sini menyediakan beberapa hidangan maka hasilnya baru-baru ini saya dapat jua membuat sendiri sayuran campuran tersebut. Ia dipanggil salatah dan biasanya dimakan bersama firakh masywi atau dengan sandwichat ‘isy dan to’miyyah.

Sangat mudah menyediakan salatah ini. Memandangkan ia tidak perlu dimasak, saya kira ia termasuk dalam kumpulan ulam dalam hidangan. Selain membekalkan zat vitamin dan zat cahaya matahari daripada sumber primer, ia juga dapat menghilangkan rasa muak ketika makan. Bagi mendapatkan rupa awet muda, mengamalkan pemakanan sayur-sayuran termasuk ulam seperti salatah ini juga menjadi salah satu petuanya. Untuk rakan-rakan yang ingin mencuba sendiri resepi tersebut, di sini saya kongsikan bahan-bahan ramuannya.

Salatah.


Resepi salatah.
Bahan-bahan:

1 ikat daun jarjil.
1 ikat daun kusbarah.
1 ikat daun ba’donis.
1 batang khiar.
1 biji cabai gajah.
2 biji tomato.
Sedikit garam.

Aturan:
Potong semua bahan di atas dan kumpulkan semuanya dalam sebiji mangkuk. Kemudian taburkan garam secukup rasa. Gaul dan hidangkan.

Petua:
1) Cara memotong bahan-bahan adalah mengikut jenis hidangan. Sekiranya dihidangkan bersama:
- isy dan to’miyah – adalah sesuai dipotong sederhana halus.
- firakh masywi – dipotong kasar.
2) Hidangan ini juga sesuai dijadikan ulam bersama nasi
.

Dari kiri: daun ba'donis, daun kusbarah dan daun jarjil.


Nota: Saya pohon kemaafan kerana kurang arif nama lain dalam bahasa Melayu bagi daun jarjil dan ba’donis serta kewujudan daun-daun tersebut -ditanam atau dijual- di Malaysia. Apapun ayahanda saya memang ada menanam daun jarjil di rumah kerana saya pernah membawa pulang benihnya ketika pulang ke Malaysia tak lama dulu.

Glosari:
Daurul miyah : bilik air.
Salatoh : sejenis makanan daripada sayuran, acar.
Firakh : ayam.
Masywi : panggang, bakar.
Sandwichat : sandwich.
‘Isy : roti.
Jarjir : disebut gargil mengikut loghat Mesir, sejenis sayuran berkhasiat yang pahit rasanya.
Kusbarah : ketumbar.
Khiar : timun.

0 comments: