Showing posts with label parenting. Show all posts
Showing posts with label parenting. Show all posts
Wednesday, July 23, 2008 | By: Anjung Hikmah

Bertandang ke Mansurah

SELAMA satu minggu saya berada di Mansurah untuk memenuhi undangan Unit Pengetahuan dan Pendidikan (UPEP), Dewan Perwakilan Mahasiswa/i Mansurah (DPMM); membentangkan ilmu mirath dalam senggang masa antara maghrib dan isya’. Bertempat di Dewan Persada Jazirah al-Ward, majlis tersebut telah berlansung bermula dari 11 Rejab sehingga 17 Rejab yang lalu. Keseluruhannya mengambil masa selama lima malam dengan cuti pada malam Jumaat dan Sabtu bagi memberi laluan kepada program Unit Dakwah DPMM.

Saya bukanlah pakar dalam ilmu mirath ini kerana lebih ramai yang hebat terutamanya mahasiswa jurusan syariah di sini. Tetapi bagi mengisi jadual aktiviti ilmiah saya dan mengasah pengalaman, di samping melatih kembali kemahiran yang pernah saya terima daripada ayahanda saya secara khusus. Sememangnya tugasan tersebut merupakan suatu pengalaman yang amat mencabar bagi diri saya yang kerdil ini. Bermula daripada membuat rujukan dan menyiapkan ringkasan untuk memudahkan pembentangan sehinggalah pada hari terakhir kelas faraid tersebut. Saya kira ia suatu kebiasaan yang dilalui oleh pembentang-pembentang yang berpengalaman, justeru saya tidak berhasrat mengoceh lebih panjang tentang perkara tersebut. Apapun saya amat berharap agar tidak menyebabkan objektif program penganjur tersasar daripada perancangan yang telah ditetapkan. Maklumlah saya menggunakan kaedah kelas yang melibatkan interaksi dua hala dan bukan sebagaimana kuliah maghrib biasa.

Pesediaan yang perlu dilakukan sebelum hari perbentangan.

Sebetulnya ini adalah kali ketiga saya melakukan pembentangan ilmu faraid dan kesemuanya bertempat di Mansurah. Bezanya kali ini ialah audiennya tertumpu kepada pelajar lelaki sahaja yang terdiri daripada kalangan mahasiswa jurusan usuluddin, lughah arabiah dan perubatan. Memandangkan jadual peribadi saya sendiri yang agak padat, saya memilih untuk menumpukan kepada beberapa aspek utama sahaja dalam pembentangan kali ini. Khususnya kaedah pengiraan nilai harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris yang berhak.

Menurut ayahanda saya, perbincangan ilmu faraid kurang popular dan diminati kerana kekurangan guru yang berpengalaman di samping hanya menumpukan kepada perbincangan teori semata. Walhasil tidak ramai yang berkemahiran menentukan jumlah nilai pusaka yang diperolehi meskipun telah mempelajari ilmu ini. Tak hairanlah jika kita lihat berapa ramai di kalangan waris yang dinafikan hak mereka kerana berlaku perebutan harta pusaka. Senario yang jelek ini agak ‘skeptik’ (baca: skema dan slaptik) jika merujuk kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini yang semakin menjauhi hukum perintah dan larangan Allah. Perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia juga masih terpencil dan mungkin berada pada tahap dilema sebagaimana ‘dilema Melayu’. Saya juga kerap memerhatikan pengarah-pengarah filem kita yang beragama Islam sangat gemar menyalin dan merakam bulat-bulat suasana jahil dan tiada kesedaran ini lalu menghantarkannya dalam karya-karya mereka tanpa sebarang arah. Justeru saya mempunyai alasan kenapa terasa mual menonton drama dan filem Melayu yang ghairah menghidangkan tema dan adegan klise, khususnya perebutan pusaka yang tiada unsur-unsur seruan kepada pendidikan dan pendedahan ilmu faraid kepada penonton. Oppss… maaf. Macam terlebih semangat pula.

Berdasarkan kepada situasi inilah, saya menumpukan pembentangan kali ini dari sudut aplikasi dan praktikal ilmu faraid itu sendiri. Ia menyentuh aspek formula pengiraan bahagian yang diterima dan kadar nilai yang diperolehi oleh setiap waris. Maka pembentangan kali ini agak berbeza sedikit daripada pembentangan yang lalu. Saya kira pendedahan ini sangat penting bagi setiap individu menguasai ilmu faraid ini. Amat sukar membahagikan pusaka jika sekadar mengetahui perbincangan hukum tanpa melakukan praktikal pengiraannya. Hanyalah kekangan masa dan masih banyak tajuk yang perlu dibincang secara mendalam menjadikan saya bagai dikejar harimau tatkala menyudahi kelas faraid ini.

Sememangnya Allah Maha Mengahui kelemahan hamba-hamba-Nya dalam soal harta benda. Kerakusan hawa nafsu menjadi titik bengik perbalahan dan kezaliman sehingga beberapa keturunan. Dalam tempoh itu tak kurang pula kes-kes yang melibatkan korban jiwa. Maka Allah mensyariatkan kewajipan faraid sebagai jalan penyelesaian di samping menjamin keamanan, keadilan dan keutuhan institusi kekeluargaan. Tentunya masih banyak hikmah tersembunyi yang perlu dicarigali di sebalik pensyariatan faraid itu sendiri.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UPEP DPMM atas kepercayaan dan kesudian menjemput saya mengisi program kali ini. Tak lupa juga saya memohon banyak kemaafan kepada semua pihak atas banyak kelemahan yang berlaku sepanjang menjayakan program ini. Semoga ada kelansungan yang lain selepas ini sama ada daripada penganjur mahupun peserta untuk mendalami, mencintai dan menguasai ilmu faraid ini. Kerana penyertaan saya dalam program baru-baru ini hanyalah sekadar pembuka jalan dan minat ramai sahaja!

p/s: Sila ikuti diskusi yang dikendalikan oleh Dr. Salleh Ismail Yusof al-Mutie secara online untuk:

Glosari :
Ilmu mirath/faraid : ilmu tentang kaedah pembahagian harta pusaka menurut Islam.
Lughah arabiah : bahasa arab.

Friday, June 13, 2008 | By: Anjung Hikmah

Menziarahi Rakan Penulis

ALHAMDULILLAH... sudah lama juga saya mencari-cari alamat salah seorang bekas pelajar terbaik PMR sekolah saya -SMAASZA- akhirnya berjumpa semula dalam simpanan emel. Sengaja saya simpan di sana suatu ketika dulu agar mudah dicari. Almaklumlah bila dah tua ni mudah sangat lupa (",).

Ustzh. Fatimatuzzahra ketika berucap di Institut al-Maktoum, Scotland, United Kingdom (UK).

Beliau ialah Ustzh. Fatimatuzzarahra Abd Rahman. Saya temui kembali Ustzh. Fatimah di Universiti al-Azhar, Mesir, selepas beliau bertukar ke KISAS pada tingkatan empat dahulu. Ketika di Mesir, beliau seorang yang aktif dan merupakan salah seorang kepimpinan dalam barisan Hewi PMRAM. Beliau juga berbakat dalam bidang penulisan sama ada berbentuk kreatif mahupun deskriptif dan hasil karyanya pernah disiarkan dalam Suara Kampus Edisi Terengganu (SUTRA), terbitan KPT serta Warta terbitan PMRAM. Graduanita lulusan Fakulti Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar cawangan Kaherah, Mesir dan berasal dari Dungun, Terengganu ini kemudian bertemu jodoh dengan alFadhil Ust. Aminurrashid Yatiban (Selangor) yang juga pernah menjadi salah seorang Badan Pengurus PMRAM. Selepas berkahwin, pasangan bahagia ini kemudiannya bermusafir ke rantau UK untuk mengejar cita-cita mereka dalam bidang pengajian hingga ke peringkat PhD. Menurut khabar Ust Aminurrashid yang lebih dahulu menyambung pelajaran di UK selepas tamat di Universiti al-Azhar, telahpun menamatkan ijazah kedoktorannya pada tahun lepas dan kini sedang menunggu giliran Ustzh. Fatimah pula untuk menyelesaikan pengajian.

Ust. Aminurrashid (berkopiah).

Semasa berada di sana juga, pasangan ini telahpun dikurniakan sepasang cahayamata yang comel dan bijak iaitu Nabhan Aminulhakeem (3 tahun 6 bulan) dan Fatimah Zatul Hanan (1 tahun).

Dari kiri: Nabhan dan Hanan.

Hingga kini Ustzh. Fatimah masih terus menulis. Banyak sekali hasil pengalamannya berada di UK sebagai seorang muslimah, isteri, ibu dan juga pelajar yang dirakamkan lewat penulisan dalam blognya. Justeru ia tentunya sangat berharga bagi mereka yang dahagakan pengetahuan dan pengalaman khususnya tatkala menempuh era sambung pengajian dengan status berkeluarga. Bagi mereka yang berminat, keluarga mereka boleh dilawati di alamat berikut:
Semoga entri ini memberikan manfaat dan pengajaran di samping membakar semangat serta memugar cita-cita kita semua untuk terus belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi, insyaallah. Salam Mujahadah!


(Dengari juga kuliah Subuh bertajuk "Sejarah Islam"
yang disampaikan oleh Ust. Aminurrashid Yatiban).

Saturday, January 5, 2008 | By: Anjung Hikmah

Di Manakah Silapnya???

DARIPADA segumpal darah, menjadi seketul daging. Daripada seketul daging terbentuklah satu jasad, tertiuplah satu roh, terbinalah satu nyawa yang bergelar manusia. Itulah fitrah kejadian manusia yang Allah ciptakan begitu halus dan cantik yang tak tergambar difikiran kita betapa agungnya ciptaannya.

Namun sebelum dipertanggungjawabkan di alam fana ini, insan yang bergelar ibu terpaksa berhadapan dengan segala rasa. Sembilan bulan dikandung dengan rasa kasih dan sabar, apabila tiba detiknya, dengan hanya sedikit kekuatan serta segenggam ketabahan, si ibu terpaksa menelan segala pahitnya demi melahirkan seorang khalifah yang juga digelar manusia.

Sembilan bulan berlalu, tiba saatnya ditatang, diriba, dikendong dengan rasa sayang yang berpanjangan. ibulah 'pembunuh yang tanpa perasaan' tatkala nyamuk, semut serta segala serangga datang menghampiri, tangan itulah yang menebahnya, memukulnya serta melenyeknya.

Betapa dalamnya kasih seorang ibu terhadap insan yang bergelar anak. Tatkala si ibu yang sanggup berjaga malam menukar lampin, bermain dengan si kecil kerana bimbangkan keselamatan anaknya. Hebatnya mereka yang bergelar ibu....

Apabila tiba tempoh persekolahan, segala bentuk sekolah didaftarkan. Dari sekolah tadika sehingga ke sekolah agama, sekolah menengah, tuisyen-tuisyen dan akhirnya ke menara gading (universiti). Bertungkus lumus si ibu dan bapa ini bekerja tanpa menghiraukan sakit pening demi untuk anak yang tercinta. Hanya satu harapan, satu doa, semoga zuriat mereka tergolong daripada mereka yang beriman dan berjaya di dunia dan akhirat, amin....

Namun kini... tak semua harapan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah hidup umpama roda, kadang kala di atas kadangkala di bawah. Ujian getir buat mereka yang bergelar ibu dan bapa. Terpampang di muka-muka akhbar segala cerita duka tentang mereka yang bergelar anak... 'remaja lari dari rumah', 'ponteng sekolah', 'rokok di kalangan pelajar' dan sebagainya. Apa yang terjadi??? Di mana silapnya lagi???? Segala usaha telah dicurahkan, segala doa telah dipohonkan....

Seolah-olah mereka kini lebih hebat daripada pengorbanan ibu bapa mereka. Hanya mereka yang memahami dunia ini. Hanya mereka yang ada hati dan perasaan. Hanya mereka yang ada susah senang. Sehinggakan segala kata, harapan ibu dan bapa tergadai begitu sahaja. Silap ibu dan bapakah lagi? Apabila anak sudah mencapai usianya, mencapai tahap mukallafnya serta mencapai kematangan akal fikirannya. Salah ibu bapakah lagi yang tidak pandai mendidik anak mereka????

Hai anak... tidakkah engkau tahu peritnya hati ibu dan bapa??? Semenjak bermulanya satu perkataan 'ahh' yang engkau lafazkan... telah meninggalkan satu luka dalam hati mereka. Tatkala kakimu melangkah meninggalkan rumah untuk ke sekolah... tidak habis-habis hati kecil seorang ibu bermunajat kepada Maha Pencipta moga dipeliharakan 'buah hatinya' yang tercinta. Tidakkah engkau sedar apabila engkau meninggalkan rumah ibu bapamu lantaran mengikut gerak hati dan akalmu... maka terkoyaklah hati seorang ibu, terderalah bebanan seorang bapa... hanya kerana pengorbananmu itu?

Salah ibukah lagi? Salah bapakah lagi? Silap merekakah lagi???? Hanya kerana mahukan kehidupan yang terbaik buat anak-anak... maka merekakah yang tersilap, merekakah yang salah???

Hai anak... di mana silapnya lagi? Lapangkan hatimu,panjangkan akalmu lagi. Buat mereka yang memahami, mengerti hati seorang ibu dan bapa. Pulanglah... kembalikan hak ibu dan bapa... sebelum mereka meninggalkan kita dalam sedetik masa lagi.

"YA ALLAH... ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil... Amin."