Saturday, January 5, 2008 | By: Anjung Hikmah

Di Manakah Silapnya???

DARIPADA segumpal darah, menjadi seketul daging. Daripada seketul daging terbentuklah satu jasad, tertiuplah satu roh, terbinalah satu nyawa yang bergelar manusia. Itulah fitrah kejadian manusia yang Allah ciptakan begitu halus dan cantik yang tak tergambar difikiran kita betapa agungnya ciptaannya.

Namun sebelum dipertanggungjawabkan di alam fana ini, insan yang bergelar ibu terpaksa berhadapan dengan segala rasa. Sembilan bulan dikandung dengan rasa kasih dan sabar, apabila tiba detiknya, dengan hanya sedikit kekuatan serta segenggam ketabahan, si ibu terpaksa menelan segala pahitnya demi melahirkan seorang khalifah yang juga digelar manusia.

Sembilan bulan berlalu, tiba saatnya ditatang, diriba, dikendong dengan rasa sayang yang berpanjangan. ibulah 'pembunuh yang tanpa perasaan' tatkala nyamuk, semut serta segala serangga datang menghampiri, tangan itulah yang menebahnya, memukulnya serta melenyeknya.

Betapa dalamnya kasih seorang ibu terhadap insan yang bergelar anak. Tatkala si ibu yang sanggup berjaga malam menukar lampin, bermain dengan si kecil kerana bimbangkan keselamatan anaknya. Hebatnya mereka yang bergelar ibu....

Apabila tiba tempoh persekolahan, segala bentuk sekolah didaftarkan. Dari sekolah tadika sehingga ke sekolah agama, sekolah menengah, tuisyen-tuisyen dan akhirnya ke menara gading (universiti). Bertungkus lumus si ibu dan bapa ini bekerja tanpa menghiraukan sakit pening demi untuk anak yang tercinta. Hanya satu harapan, satu doa, semoga zuriat mereka tergolong daripada mereka yang beriman dan berjaya di dunia dan akhirat, amin....

Namun kini... tak semua harapan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah hidup umpama roda, kadang kala di atas kadangkala di bawah. Ujian getir buat mereka yang bergelar ibu dan bapa. Terpampang di muka-muka akhbar segala cerita duka tentang mereka yang bergelar anak... 'remaja lari dari rumah', 'ponteng sekolah', 'rokok di kalangan pelajar' dan sebagainya. Apa yang terjadi??? Di mana silapnya lagi???? Segala usaha telah dicurahkan, segala doa telah dipohonkan....

Seolah-olah mereka kini lebih hebat daripada pengorbanan ibu bapa mereka. Hanya mereka yang memahami dunia ini. Hanya mereka yang ada hati dan perasaan. Hanya mereka yang ada susah senang. Sehinggakan segala kata, harapan ibu dan bapa tergadai begitu sahaja. Silap ibu dan bapakah lagi? Apabila anak sudah mencapai usianya, mencapai tahap mukallafnya serta mencapai kematangan akal fikirannya. Salah ibu bapakah lagi yang tidak pandai mendidik anak mereka????

Hai anak... tidakkah engkau tahu peritnya hati ibu dan bapa??? Semenjak bermulanya satu perkataan 'ahh' yang engkau lafazkan... telah meninggalkan satu luka dalam hati mereka. Tatkala kakimu melangkah meninggalkan rumah untuk ke sekolah... tidak habis-habis hati kecil seorang ibu bermunajat kepada Maha Pencipta moga dipeliharakan 'buah hatinya' yang tercinta. Tidakkah engkau sedar apabila engkau meninggalkan rumah ibu bapamu lantaran mengikut gerak hati dan akalmu... maka terkoyaklah hati seorang ibu, terderalah bebanan seorang bapa... hanya kerana pengorbananmu itu?

Salah ibukah lagi? Salah bapakah lagi? Silap merekakah lagi???? Hanya kerana mahukan kehidupan yang terbaik buat anak-anak... maka merekakah yang tersilap, merekakah yang salah???

Hai anak... di mana silapnya lagi? Lapangkan hatimu,panjangkan akalmu lagi. Buat mereka yang memahami, mengerti hati seorang ibu dan bapa. Pulanglah... kembalikan hak ibu dan bapa... sebelum mereka meninggalkan kita dalam sedetik masa lagi.

"YA ALLAH... ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil... Amin."

0 comments: