Showing posts with label family. Show all posts
Showing posts with label family. Show all posts
Friday, June 13, 2008 | By: Anjung Hikmah

Menziarahi Rakan Penulis

ALHAMDULILLAH... sudah lama juga saya mencari-cari alamat salah seorang bekas pelajar terbaik PMR sekolah saya -SMAASZA- akhirnya berjumpa semula dalam simpanan emel. Sengaja saya simpan di sana suatu ketika dulu agar mudah dicari. Almaklumlah bila dah tua ni mudah sangat lupa (",).

Ustzh. Fatimatuzzahra ketika berucap di Institut al-Maktoum, Scotland, United Kingdom (UK).

Beliau ialah Ustzh. Fatimatuzzarahra Abd Rahman. Saya temui kembali Ustzh. Fatimah di Universiti al-Azhar, Mesir, selepas beliau bertukar ke KISAS pada tingkatan empat dahulu. Ketika di Mesir, beliau seorang yang aktif dan merupakan salah seorang kepimpinan dalam barisan Hewi PMRAM. Beliau juga berbakat dalam bidang penulisan sama ada berbentuk kreatif mahupun deskriptif dan hasil karyanya pernah disiarkan dalam Suara Kampus Edisi Terengganu (SUTRA), terbitan KPT serta Warta terbitan PMRAM. Graduanita lulusan Fakulti Syariah Islamiah, Universiti al-Azhar cawangan Kaherah, Mesir dan berasal dari Dungun, Terengganu ini kemudian bertemu jodoh dengan alFadhil Ust. Aminurrashid Yatiban (Selangor) yang juga pernah menjadi salah seorang Badan Pengurus PMRAM. Selepas berkahwin, pasangan bahagia ini kemudiannya bermusafir ke rantau UK untuk mengejar cita-cita mereka dalam bidang pengajian hingga ke peringkat PhD. Menurut khabar Ust Aminurrashid yang lebih dahulu menyambung pelajaran di UK selepas tamat di Universiti al-Azhar, telahpun menamatkan ijazah kedoktorannya pada tahun lepas dan kini sedang menunggu giliran Ustzh. Fatimah pula untuk menyelesaikan pengajian.

Ust. Aminurrashid (berkopiah).

Semasa berada di sana juga, pasangan ini telahpun dikurniakan sepasang cahayamata yang comel dan bijak iaitu Nabhan Aminulhakeem (3 tahun 6 bulan) dan Fatimah Zatul Hanan (1 tahun).

Dari kiri: Nabhan dan Hanan.

Hingga kini Ustzh. Fatimah masih terus menulis. Banyak sekali hasil pengalamannya berada di UK sebagai seorang muslimah, isteri, ibu dan juga pelajar yang dirakamkan lewat penulisan dalam blognya. Justeru ia tentunya sangat berharga bagi mereka yang dahagakan pengetahuan dan pengalaman khususnya tatkala menempuh era sambung pengajian dengan status berkeluarga. Bagi mereka yang berminat, keluarga mereka boleh dilawati di alamat berikut:
Semoga entri ini memberikan manfaat dan pengajaran di samping membakar semangat serta memugar cita-cita kita semua untuk terus belajar hingga ke peringkat yang lebih tinggi lagi, insyaallah. Salam Mujahadah!


(Dengari juga kuliah Subuh bertajuk "Sejarah Islam"
yang disampaikan oleh Ust. Aminurrashid Yatiban).

Saturday, January 5, 2008 | By: Anjung Hikmah

Di Manakah Silapnya???

DARIPADA segumpal darah, menjadi seketul daging. Daripada seketul daging terbentuklah satu jasad, tertiuplah satu roh, terbinalah satu nyawa yang bergelar manusia. Itulah fitrah kejadian manusia yang Allah ciptakan begitu halus dan cantik yang tak tergambar difikiran kita betapa agungnya ciptaannya.

Namun sebelum dipertanggungjawabkan di alam fana ini, insan yang bergelar ibu terpaksa berhadapan dengan segala rasa. Sembilan bulan dikandung dengan rasa kasih dan sabar, apabila tiba detiknya, dengan hanya sedikit kekuatan serta segenggam ketabahan, si ibu terpaksa menelan segala pahitnya demi melahirkan seorang khalifah yang juga digelar manusia.

Sembilan bulan berlalu, tiba saatnya ditatang, diriba, dikendong dengan rasa sayang yang berpanjangan. ibulah 'pembunuh yang tanpa perasaan' tatkala nyamuk, semut serta segala serangga datang menghampiri, tangan itulah yang menebahnya, memukulnya serta melenyeknya.

Betapa dalamnya kasih seorang ibu terhadap insan yang bergelar anak. Tatkala si ibu yang sanggup berjaga malam menukar lampin, bermain dengan si kecil kerana bimbangkan keselamatan anaknya. Hebatnya mereka yang bergelar ibu....

Apabila tiba tempoh persekolahan, segala bentuk sekolah didaftarkan. Dari sekolah tadika sehingga ke sekolah agama, sekolah menengah, tuisyen-tuisyen dan akhirnya ke menara gading (universiti). Bertungkus lumus si ibu dan bapa ini bekerja tanpa menghiraukan sakit pening demi untuk anak yang tercinta. Hanya satu harapan, satu doa, semoga zuriat mereka tergolong daripada mereka yang beriman dan berjaya di dunia dan akhirat, amin....

Namun kini... tak semua harapan menjadi kenyataan. Bak kata pepatah hidup umpama roda, kadang kala di atas kadangkala di bawah. Ujian getir buat mereka yang bergelar ibu dan bapa. Terpampang di muka-muka akhbar segala cerita duka tentang mereka yang bergelar anak... 'remaja lari dari rumah', 'ponteng sekolah', 'rokok di kalangan pelajar' dan sebagainya. Apa yang terjadi??? Di mana silapnya lagi???? Segala usaha telah dicurahkan, segala doa telah dipohonkan....

Seolah-olah mereka kini lebih hebat daripada pengorbanan ibu bapa mereka. Hanya mereka yang memahami dunia ini. Hanya mereka yang ada hati dan perasaan. Hanya mereka yang ada susah senang. Sehinggakan segala kata, harapan ibu dan bapa tergadai begitu sahaja. Silap ibu dan bapakah lagi? Apabila anak sudah mencapai usianya, mencapai tahap mukallafnya serta mencapai kematangan akal fikirannya. Salah ibu bapakah lagi yang tidak pandai mendidik anak mereka????

Hai anak... tidakkah engkau tahu peritnya hati ibu dan bapa??? Semenjak bermulanya satu perkataan 'ahh' yang engkau lafazkan... telah meninggalkan satu luka dalam hati mereka. Tatkala kakimu melangkah meninggalkan rumah untuk ke sekolah... tidak habis-habis hati kecil seorang ibu bermunajat kepada Maha Pencipta moga dipeliharakan 'buah hatinya' yang tercinta. Tidakkah engkau sedar apabila engkau meninggalkan rumah ibu bapamu lantaran mengikut gerak hati dan akalmu... maka terkoyaklah hati seorang ibu, terderalah bebanan seorang bapa... hanya kerana pengorbananmu itu?

Salah ibukah lagi? Salah bapakah lagi? Silap merekakah lagi???? Hanya kerana mahukan kehidupan yang terbaik buat anak-anak... maka merekakah yang tersilap, merekakah yang salah???

Hai anak... di mana silapnya lagi? Lapangkan hatimu,panjangkan akalmu lagi. Buat mereka yang memahami, mengerti hati seorang ibu dan bapa. Pulanglah... kembalikan hak ibu dan bapa... sebelum mereka meninggalkan kita dalam sedetik masa lagi.

"YA ALLAH... ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku dan kasihilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku ketika aku masih kecil... Amin."
Monday, December 31, 2007 | By: Anjung Hikmah

Sebuah Lagi Jendela Kehidupan...


Salam ukhuwwah buat semua...

JENDELA PERSEKOLAHAN kian hampir tiba. Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan bagi sekolah, guru-guru, ibubapa serta para pelajar. Semua perlu diperbaharui seperti baju, kasut, stoking, tudung, beg, alat tulis dan lain-lain lagi.

Bagi kebanyakan kaum guru, sebenarnya tugasan baru untuk 2008 telahpun sedia menanti. Manakala bagi ibu bapa pula berhadapan dengan pelbagai permintaan daripada anak-anak yang perlu dilunasi dengan saksama, bergantung kepada budget dan keupayaan masing-masing. Demikianlah tahun yang bersilih ganti namun perkara sama tetap juga berulang sebagaimana tahun sudah. Maka sayugialah kita sentiasa beringat dan berwaspada agar yang mana perlu didahulukan, diutamakan dan sebaliknya supaya kita tak rugi kemudian hari. Terpulanglah sejauhmana kita bijak merancang dan mengatur keprluan dan urusan kehidupan. Pun begitu haruslah kita semua fahami bahawa tidak semua perancangan bakal menatijahkan pengakhiran yang baik. Dalam ertikata mudahnya, berlaku sebagaimana yang kita inginkan kerana hanya perancangan daripada Allah sajalah yang terbaik buat diri kita....

Kata pujangga:
  • "Orang yang berilmu bijak mengawal keadaan... menggunakan akal fikiran untuk meleraikan keadaan...
  • Manakala orang yang beriman sentiasa sabar menghadapi ujian... tidak mudah terpedaya dengan kehidupan duniawi yang hanya Tuhan mengetahui setiap apa yang berlaku....
tetapi yakinlah... bahawa Tuhan hanya merancang yang terbaik untuk hambanya".

Pesan Luqman al-Hakim pula: "Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya".

Berusahalah melakukan yang terbaik. Semoga hari-hari mendatang seiring dengan sinaran redha dan maghfirah daripada Ilahi buat kita semua...

Salam Mujahadah 1428H!