Monday, December 31, 2007 | By: Anjung Hikmah

Sebuah Lagi Jendela Kehidupan...


Salam ukhuwwah buat semua...

JENDELA PERSEKOLAHAN kian hampir tiba. Terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan bagi sekolah, guru-guru, ibubapa serta para pelajar. Semua perlu diperbaharui seperti baju, kasut, stoking, tudung, beg, alat tulis dan lain-lain lagi.

Bagi kebanyakan kaum guru, sebenarnya tugasan baru untuk 2008 telahpun sedia menanti. Manakala bagi ibu bapa pula berhadapan dengan pelbagai permintaan daripada anak-anak yang perlu dilunasi dengan saksama, bergantung kepada budget dan keupayaan masing-masing. Demikianlah tahun yang bersilih ganti namun perkara sama tetap juga berulang sebagaimana tahun sudah. Maka sayugialah kita sentiasa beringat dan berwaspada agar yang mana perlu didahulukan, diutamakan dan sebaliknya supaya kita tak rugi kemudian hari. Terpulanglah sejauhmana kita bijak merancang dan mengatur keprluan dan urusan kehidupan. Pun begitu haruslah kita semua fahami bahawa tidak semua perancangan bakal menatijahkan pengakhiran yang baik. Dalam ertikata mudahnya, berlaku sebagaimana yang kita inginkan kerana hanya perancangan daripada Allah sajalah yang terbaik buat diri kita....

Kata pujangga:
  • "Orang yang berilmu bijak mengawal keadaan... menggunakan akal fikiran untuk meleraikan keadaan...
  • Manakala orang yang beriman sentiasa sabar menghadapi ujian... tidak mudah terpedaya dengan kehidupan duniawi yang hanya Tuhan mengetahui setiap apa yang berlaku....
tetapi yakinlah... bahawa Tuhan hanya merancang yang terbaik untuk hambanya".

Pesan Luqman al-Hakim pula: "Hai anakku, janganlah engkau condong kepada urusan dunia dan hatimu selalu disusahkan olah dunia saja kerana engkau diciptakan ALLAH bukanlah untuk dunia sahaja. Sesungguhnya tiada makhluk yang lebih hina daripada orang yang terpedaya dengan dunianya".

Berusahalah melakukan yang terbaik. Semoga hari-hari mendatang seiring dengan sinaran redha dan maghfirah daripada Ilahi buat kita semua...

Salam Mujahadah 1428H!
Monday, December 24, 2007 | By: Anjung Hikmah

Promosi Buku!!


Judul : Pembubaran Perkahwinan Mengikut Fiqh & Undang-undang Islam
Pengarang : Dr. Salleh Ismail Yusuf al-Mutie
Penerbit :
DBP
Genre :
Feqah Islamiah
Mukasurat : 256 halaman
Cetakan Pertama :
2003
ISBN :
9836273492
Harga : RM20.00
Status : Sedia Ditempah
------------------------------------------------------------------------------------------------

Judul : Teknik Penyelesaian Pusaka

Pengarang : Dr. Salleh Ismail Yusuf al-Mutie
Penerbit :
Pustaka Haji Abdul Majid
Genre :
Feqah Islamiah
Mukasurat :
151 halaman
Cetakan Pertama :
2007
ISBN :
9789833404520
Harga : RM19.00

Status : Sedia Ditempah

Untuk pesanan, sila kirimkan nama, alamat & kuantiti ke email berikut: luqman_syahid@hotmail.com

Thursday, December 20, 2007 | By: Anjung Hikmah

Selamat Hari Raya!


Salam Idul Adha 1428H
buat semua muslimin dan muslimat...
walau di mana saja anda berada (",)

Sebaik-baik Amalan...


AGAK LAMA juga baru saya berkesempatan untuk memperbaharui (update) catatan blog ini. Suatu situasi yang tak baik bagi permulaan penulisan jurnal. Pun begitu saya harus menerima hakikat bahawa menggapai impian tak semudah yang disangka. Menulis blog dalam masa sama mempelajari sendiri teknik pengurusan dan membangunkan aplikasi blog dengan kemudahan serta masa yang terhad seakan menjadi kekangan. Pun begitu saya tak berhasrat menjadi ia sebagai suatu alasan mahupun halangan. Bahkan saya percaya bahawa orang yang terdahulu daripada saya pun pastinya menempuh fenomena yang sama seperti ini. Pepatah Thai ada mengatakan: “sesuatu pekerjaan itu terasa berat pada langkahnya yang pertama”.

Hal ini mengingatkan saya pada saranan Rasulullah s.a.w. :”Sebaik-baik amalan itu ialah yang sedikit tetapi berterusan daripada yang banyak tetapi jarang-jarang (dilaksanakan)”. Melakukan sesuatu perkara yang besar secara drastik, dengan pengetahuan dan pengalaman yang kurang serta semata-mata bergantung kepada semangat dalam bekerja pasti mengundang implikasi yang tidak sihat. Seseorang haruslah belajar selangkah demi selangkah dari bawah, biarpun dengan berdikit agar dapat menguasai selok belok pekerjaan yang dilaksanakan di samping kualiti terjaga. Biar lambat asalkan berterusan dan selamat. Kata orang-orang tua, “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.

Melakukan pekerjaan mengikut nafsu seumpama ingin dilihat hebat, maka amalan tersebut dikira riya’. Begitu juga bila mengharapkan nama, pujian dan agar disebut-sebut orang maka amalan tersebut bertukar menjadi sum’ah. Manakala pekerjaan yang hanya berteraskan semangat semata-mata pula kelak akibatnya menjerumuskan seseorang ke lembah putus asa (futur), malas, jemu serta mungkin juga mengubah seseorang menjadi ego dan lemah semangat.

Kerana itu para ulama dan cendiakawan menggariskan beberapa panduan dalam bekerja atau melakukan sesuatu perkara. Tip-tip tersebut antaranya ialah:
  • Menyusun pekerjaan mengikut urutan keutamaan.
  • Merencana taqwim (kalendar) dan dateline gerakkerja supaya semua pekerjaan dapat diselesaikan tepat pada masanya dan berkualiti.
  • Memahami bidang tugas, melakukan penyelidikan dan mengambil buah fikiran daripada pakar serta orang yang berpengalaman.
  • Jika bekerja dalam suatu organisasi, kenal pasti dan agihkan pekerjaan mengikut keupayaan dan bidang masing-masing. Selesaikan tugasan sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tugas orang lain, elakkan monopoli dan bekerja secara bersendirian (jika anda mempunyai pembantu atau kakitangan) kerana anda bukannya superman, serta tindakan itu bukanlah suatu penghargaan buat orang-orang dalam kumpulan anda.
  • Bersopan santun serta jadikan amanah dan pekerjaan sebagai tanggungjawab dan peluang tarbiah untuk mendidik diri agar menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
  • Ikhlaskan hati dan diri kepada Allah dalam melaksanakan pekerjaan. Sentiasa mengingati Allah, memelihara suruhan dan larangan-Nya dalam melakukan amalan dan pekerjaan dapat menjamin sifat istiqamah (konsisten) dan menjauhkan nilai malas, futur, ujub (merasa takjub dengan diri sendiri) dan takbur (sombong dan bangga diri).

Inilah sebahagian daripada nasihat para ulama’ dan cendiakawan yang berteraskan kepada ajaran Islam. Sekiranya perkara-perkara ini diikuti, pastinya pekerjaan yang dilakukan menjadi lancar dan mudah serta segala masalah dapat diatasi.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berusahalah untuk dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk (kehidupan) akhirat nanti seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya”.

Semoga sedikit introspeksi ini berguna sebagai muhasabah dalam kehidupan dan perjuangan buat diri saya dan anda semua. Hingga bertemu lagi dan salam mujahadah.

Wednesday, December 19, 2007 | By: Anjung Hikmah

alHamdulillah


Assalamualaikum...

Segala puji dan syukur kepada Allah swt kerana memberi keizinan buat hamba-Nya yang kerdil ini memanjangkan selangkah lagi perjalanan hidup merentasi sempadan dunia. Selawat dan salam diutuskan buat Rasul junjungan mulia beserta ahli keluarga baginda yang tercinta.

Ucapan terima kasih yang tak terhingga khusus buat ayahanda dan bonda tersayang atas restu yang diberikan, buat isteri dan anakanda yang tercinta atas ketabahan dan dorongan yang tak berbelah bagi. Tak lupa ingatan buat adik-adik, teman-teman seperjuangan dan guru-guru yang sentiasa menghulurkan bantuan, buah fikiran dan ilmu sepanjang menempuh liku-liku kehidupan ini. Hanya Allah sajalah yang dapat membalas jasa yang kalian curahkan hingga kini.
Sesungguhnya medan ilmu dan dakwah semakin lama semakin luas terbentang tetapi agak kompleks hingga agak mengekang pergerakan sesetengah umat Islam. Hanya keteguhan (thabat), konsisten (istiqamah) dan semangat perjuangan yang dibajai ilmu serta berpaksikan iman sajalah akan dapat melerai kekusutan mehnah dan tribulasi dalam perjuangan. Umat Islam perlu bersatu dan bangkit daripada tidur yang lena untuk kembali menguatkan pertahanan, menangkis serangan dan berjihad melawan musuh yang sekian lama membuat onar. Justeru semoga Allah terus mengurniakan taufiq, inayah dan keberkatan buat kita semua guna memanfaatkan wadah ilmu dan dakwah tanpa sempadan ini.

Salam Mujahadah tanpa noktah buat semua...