Thursday, December 20, 2007 | By: Anjung Hikmah

Sebaik-baik Amalan...


AGAK LAMA juga baru saya berkesempatan untuk memperbaharui (update) catatan blog ini. Suatu situasi yang tak baik bagi permulaan penulisan jurnal. Pun begitu saya harus menerima hakikat bahawa menggapai impian tak semudah yang disangka. Menulis blog dalam masa sama mempelajari sendiri teknik pengurusan dan membangunkan aplikasi blog dengan kemudahan serta masa yang terhad seakan menjadi kekangan. Pun begitu saya tak berhasrat menjadi ia sebagai suatu alasan mahupun halangan. Bahkan saya percaya bahawa orang yang terdahulu daripada saya pun pastinya menempuh fenomena yang sama seperti ini. Pepatah Thai ada mengatakan: “sesuatu pekerjaan itu terasa berat pada langkahnya yang pertama”.

Hal ini mengingatkan saya pada saranan Rasulullah s.a.w. :”Sebaik-baik amalan itu ialah yang sedikit tetapi berterusan daripada yang banyak tetapi jarang-jarang (dilaksanakan)”. Melakukan sesuatu perkara yang besar secara drastik, dengan pengetahuan dan pengalaman yang kurang serta semata-mata bergantung kepada semangat dalam bekerja pasti mengundang implikasi yang tidak sihat. Seseorang haruslah belajar selangkah demi selangkah dari bawah, biarpun dengan berdikit agar dapat menguasai selok belok pekerjaan yang dilaksanakan di samping kualiti terjaga. Biar lambat asalkan berterusan dan selamat. Kata orang-orang tua, “sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit”.

Melakukan pekerjaan mengikut nafsu seumpama ingin dilihat hebat, maka amalan tersebut dikira riya’. Begitu juga bila mengharapkan nama, pujian dan agar disebut-sebut orang maka amalan tersebut bertukar menjadi sum’ah. Manakala pekerjaan yang hanya berteraskan semangat semata-mata pula kelak akibatnya menjerumuskan seseorang ke lembah putus asa (futur), malas, jemu serta mungkin juga mengubah seseorang menjadi ego dan lemah semangat.

Kerana itu para ulama dan cendiakawan menggariskan beberapa panduan dalam bekerja atau melakukan sesuatu perkara. Tip-tip tersebut antaranya ialah:
  • Menyusun pekerjaan mengikut urutan keutamaan.
  • Merencana taqwim (kalendar) dan dateline gerakkerja supaya semua pekerjaan dapat diselesaikan tepat pada masanya dan berkualiti.
  • Memahami bidang tugas, melakukan penyelidikan dan mengambil buah fikiran daripada pakar serta orang yang berpengalaman.
  • Jika bekerja dalam suatu organisasi, kenal pasti dan agihkan pekerjaan mengikut keupayaan dan bidang masing-masing. Selesaikan tugasan sendiri terlebih dahulu sebelum mengambil tugas orang lain, elakkan monopoli dan bekerja secara bersendirian (jika anda mempunyai pembantu atau kakitangan) kerana anda bukannya superman, serta tindakan itu bukanlah suatu penghargaan buat orang-orang dalam kumpulan anda.
  • Bersopan santun serta jadikan amanah dan pekerjaan sebagai tanggungjawab dan peluang tarbiah untuk mendidik diri agar menjadi hamba Allah yang bertaqwa.
  • Ikhlaskan hati dan diri kepada Allah dalam melaksanakan pekerjaan. Sentiasa mengingati Allah, memelihara suruhan dan larangan-Nya dalam melakukan amalan dan pekerjaan dapat menjamin sifat istiqamah (konsisten) dan menjauhkan nilai malas, futur, ujub (merasa takjub dengan diri sendiri) dan takbur (sombong dan bangga diri).

Inilah sebahagian daripada nasihat para ulama’ dan cendiakawan yang berteraskan kepada ajaran Islam. Sekiranya perkara-perkara ini diikuti, pastinya pekerjaan yang dilakukan menjadi lancar dan mudah serta segala masalah dapat diatasi.

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Berusahalah untuk dunia ini seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk (kehidupan) akhirat nanti seolah-olah kamu akan mati keesokan harinya”.

Semoga sedikit introspeksi ini berguna sebagai muhasabah dalam kehidupan dan perjuangan buat diri saya dan anda semua. Hingga bertemu lagi dan salam mujahadah.

1 comments:

Anonymous said...

alhamdulillah..tahniah di atas kehadiran blog ini...smoga terus sukses dan terus tabah dalam perjalanan yang baru bermula ini...ma'an najah..:-)