Renungan hari ini,
Usahlah takut dengan ujian dunia yang kecil pada hari ini, GENTARlah pada ujian tatkala kita lupa kepada ALLAH Rabbul Izzati.
Salam Perjuangan.

Pesediaan yang perlu dilakukan sebelum hari perbentangan.
Sebetulnya ini adalah kali ketiga saya melakukan pembentangan ilmu faraid dan kesemuanya bertempat di Mansurah. Bezanya kali ini ialah audiennya tertumpu kepada pelajar lelaki sahaja yang terdiri daripada kalangan mahasiswa jurusan usuluddin, lughah arabiah dan perubatan. Memandangkan jadual peribadi saya sendiri yang agak padat, saya memilih untuk menumpukan kepada beberapa aspek utama sahaja dalam pembentangan kali ini. Khususnya kaedah pengiraan nilai harta pusaka yang perlu dibahagikan kepada waris yang berhak.
Menurut ayahanda saya, perbincangan ilmu faraid kurang popular dan diminati kerana kekurangan guru yang berpengalaman di samping hanya menumpukan kepada perbincangan teori semata. Walhasil tidak ramai yang berkemahiran menentukan jumlah nilai pusaka yang diperolehi meskipun telah mempelajari ilmu ini. Tak hairanlah jika kita lihat berapa ramai di kalangan waris yang dinafikan hak mereka kerana berlaku perebutan harta pusaka. Senario yang jelek ini agak ‘skeptik’ (baca: skema dan slaptik) jika merujuk kepada situasi yang berlaku dalam masyarakat hari ini yang semakin menjauhi hukum perintah dan larangan Allah. Perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia juga masih terpencil dan mungkin berada pada tahap dilema sebagaimana ‘dilema Melayu’. Saya juga kerap memerhatikan pengarah-pengarah filem kita yang beragama Islam sangat gemar menyalin dan merakam bulat-bulat suasana jahil dan tiada kesedaran ini lalu menghantarkannya dalam karya-karya mereka tanpa sebarang arah. Justeru saya mempunyai alasan kenapa terasa mual menonton drama dan filem Melayu yang ghairah menghidangkan tema dan adegan klise, khususnya perebutan pusaka yang tiada unsur-unsur seruan kepada pendidikan dan pendedahan ilmu faraid kepada penonton. Oppss… maaf. Macam terlebih semangat pula.
Berdasarkan kepada situasi inilah, saya menumpukan pembentangan kali ini dari sudut aplikasi dan praktikal ilmu faraid itu sendiri. Ia menyentuh aspek formula pengiraan bahagian yang diterima dan kadar nilai yang diperolehi oleh setiap waris. Maka pembentangan kali ini agak berbeza sedikit daripada pembentangan yang lalu. Saya kira pendedahan ini sangat penting bagi setiap individu menguasai ilmu faraid ini. Amat sukar membahagikan pusaka jika sekadar mengetahui perbincangan hukum tanpa melakukan praktikal pengiraannya. Hanyalah kekangan masa dan masih banyak tajuk yang perlu dibincang secara mendalam menjadikan saya bagai dikejar harimau tatkala menyudahi kelas faraid ini.
Sememangnya Allah Maha Mengahui kelemahan hamba-hamba-Nya dalam soal harta benda. Kerakusan hawa nafsu menjadi titik bengik perbalahan dan kezaliman sehingga beberapa keturunan. Dalam tempoh itu tak kurang pula kes-kes yang melibatkan korban jiwa. Maka Allah mensyariatkan kewajipan faraid sebagai jalan penyelesaian di samping menjamin keamanan, keadilan dan keutuhan institusi kekeluargaan. Tentunya masih banyak hikmah tersembunyi yang perlu dicarigali di sebalik pensyariatan faraid itu sendiri.
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada UPEP DPMM atas kepercayaan dan kesudian menjemput saya mengisi program kali ini. Tak lupa juga saya memohon banyak kemaafan kepada semua pihak atas banyak kelemahan yang berlaku sepanjang menjayakan program ini. Semoga ada kelansungan yang lain selepas ini sama ada daripada penganjur mahupun peserta untuk mendalami, mencintai dan menguasai ilmu faraid ini. Kerana penyertaan saya dalam program baru-baru ini hanyalah sekadar pembuka jalan dan minat ramai sahaja!
p/s: Sila ikuti diskusi yang dikendalikan oleh Dr. Salleh Ismail Yusof al-Mutie secara online untuk:
Glosari :
Ilmu mirath/faraid : ilmu tentang kaedah pembahagian harta pusaka menurut Islam.
Lughah arabiah : bahasa arab.
Dedikasi buat isteriku yang tercinta....
Tajuk: Sejuta Harapan
Kumpulan: Da'i Nada
Sejuta harapan
Yang aku sandarkan
Seberkas cahaya-Mu
Untuk terangi jalanku
Tanpa rahmat ampun-Mu
Tanpa kasih sayang-Mu
Hampa terasa hidupku
Ku ingin bersama-Mu
Dekat selalu dengan-Mu
Bahagia bersama-Mu
Ya Allah
Terangilah gelap hitam hatiku
Ya Allah
Sucikanlah hati ikhlas untuk-Mu
|
Copyright 2009 - Anjung Hikmah
Web Designer: Ray Creations. Sponsored by Web Hosting India & Ray Hosting.