Monday, April 14, 2008 | By: Anjung Hikmah

Suuq Sayyarat.

KETIKA INI saya masih lagi tinggal di asrama Terengganu, Hayyu Asyier, Kaherah. Belum ada cadangan untuk berpindah ke tempat pengajian saya di Mansurah. Suasana pada hari biasa di sini agak lenggang. Namun kalau tak salah saya setiap tiga kali seminggu, kawasan ini akan menjadi macet kerana dipenuhi kenderaan.

Pemandangan Suuq Sayyarat dari arah asrama pada hari biasa

Hari-hari tersebut ialah Jumaat, Ahad dan Selasa. Paling sesak ialah pada hari Jumaat. Kawasan ini menjadi tumpuan pelbagai jenis kereta kerana tidak jauh dari belakang asrama ini terdapat sebuah kawasan yang dijadikan tapak suuq sayyarat terpakai.

Sebelum lebih kurang lima tahun dahulu, di belakang asrama ini hanyalah sebuah kawasan padang pasir yang direntasi tiang-tiang kabel letrik yang besar. Suuq sayyarat pada ketika itu terletak di sepanjang bahu jalan utama yang berada di luar sedikit dari kawasan penempatan kami ini. Kemudian kerajaan telah mengambil inisiatif bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang berlaku dengan membangunkan sebuah tapak padang pasir di belakang asrama kami menjadi pasar kereta terpakai di samping memperbesarkan jalan yang sedia ada di kawasan ini.

Terdapat bayaran yang dikenakan bagi kenderaan yang ingin dipamerkan di dalam kawasan pasar yang berpagar rendah ini. Biarpun ketika itu masih banyak tempat yang kosong di dalam pasar ini terdapat juga segelintir penjual kereta yang mempamerkan kenderaan di bahagian luar pada tepi pagar suuq sayyarat baru ini kerana tidak mahu mengeluarkan apa-apa bayaran.

Pada peringkat awal keluasan tapak ini sememangnya dapat menampung jumlah kereta yang datang ke sini. Namun tujuan mengalihkan suuq sayyarat ini bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan utama tidak bertahan lama. Akhirnya kebanjiran berlaku. Pertambahan kereta terpakai yang ingin dijual di sini menyebabkan kenderaan yang dipamer melimpah keluar hingga memasuki jalan-jalan sekitarnya. Jalan utama pun tidak terkecuali.

Pemandangan hari Jumaat menyaksikan jalan utama terlalu sukar dilalui oleh kenderaan lain. Akibatnya jalan di belakang asrama kami menjadi laluan alternatif kepada jalan utama. Biarpun kadangkala jalan ini sesak dan terdapat kenderaan yang bertentangan melalui lorong yang sama, para pemandu seolah-olah tidak mempunyai pilihan lain. Undang-undang jalan raya tidak lagi menjadi sandaran sedang polis trafik yang bertugas hanya mampu memerhatikan sahaja pada ketika ini.

Mungkin atas faktor cuti hari minggu, meskipun suuq sayyarat kini turut dibuka pada hari lain bagi mengelakkan kesesakan yang berlaku tetapi masih tidak dapat menyaingi sambutan yang diberikan pada hari Jumaat.

Pemandangan Suuq Sayyarat pada hari Jumaat.



Glosari:
Suuq sayyarat : pasar kereta terpakai.

0 comments: