Thursday, April 10, 2008 | By: Anjung Hikmah

Rahmat Allah

SAYA MENGAMBIL MASA untuk mengemaskinikan catatan di sini berikutan beberapa urusan yang perlu dibereskan. ‘Jauh perjalanan luas pengalaman’. Demikianlah pesanan orang-orang tua yang saya dapat ambil iktibar sepanjang melalui minggu ini.

Ahad lalu, bersamaan 29 RabiulAwal, saya telah ke Mansurah untuk menyelesaikan urusan kuliah dan iqamah. Mungkin tiba lewat, saya hanya dapat melakukan urusan pendaftaran, karnih pelajar dan tasdiq saja di kuliah. Manakala urusan visa di jawazat terpaksa dibuat esok. Sebelum beredar, saya mengambil dahulu borang dan membeli damghah untuk diisi di asrama.

Oleh kerana keletihan dan tak ketemu rakan di Mansurah, saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke Kaherah dengan bas. Esok saya mahu rehat dan menghafal Quran. Sepanjang perjalanan baru saya sedari, Mesir sedang dilanda ribut pasir (biasanya hanya berlarutan selama satu hari) menyebabkan suasana muram, berdebu dan cepat letih.


Suasana ribut pasir sepanjang perjalanan.


Isnin malam selasa pula, seorang siswa Terengganu yang telah berkahwin dengan siswi negeri yang sama telah mengadakan majlis kesyukuran alias walimah di asrama negeri. Memandang masa yang menghampiri imtihan, majlis dianjurkan secara kecil-kecilan. Majlis diserikan dengan ucapan YDP Keluarga Penuntut Terengganu (KPT), Ust. Abd Hakim Baharuddin; Ketua Unit Hisbah KPT, Ust. Abd Aziz Othman; pengantin lelaki, Ust. Nor Faisal (pasangannya Ustz. Aznina) -barakallahu lakuma, wabarakallahu ‘alaikuma, wajam’u bainakuma fil khair- serta rakan-rakan yang tak ketinggalan tumpang gembira dan mengucapkan tahniah. Biarpun agak sederhana, kemeriahan tetap dirasai bersama.


Antara tamu yang hadir ke majlis kesyukuran dan juadah yang dihidangkan.

Pagi Selasa, saya bergegas ke Mansurah semula. Sepanjang perjalanan hati saya galau. Saya harus tiba jam 8 pagi atau selewat-lewatnya jam 9 agar borang permohonan diterima untuk diproses. Kurang suku jam pukul 10 pagi, barulah saya berjaya tiba di jawazat. Malangnya permohonan saya telah ditolak begitu saja dengan alasan saya lewat dan telah banyak borang diterima pada hari tersebut. Padahal pukul 2 petang barulah pejabat ditutup. Puas saya merayu kerana saya ingin menyelesaikan urusan dan terus pulang ke Kaherah pada hari yang sama, namun tak diendahkan. Dengan longlai saya melangkah keluar tanpa tujuan.

Ruang solat Masjid Nasr Kabir, Mansurah

(lebih dikenali dengan Masjid Putih di kalangan siswi Mansurah).

Seusai solat Zohor jam 11.30 tengahari dan lebih kurang hampir jam 2 petang barulah saya bersarapan biarpun selera terputus dengan peristiwa tadi. Dek keletihan, saya beristirehat di masjid. Saya mencongak sama ada mahu pulang ke Kaherah dan kemungkinan mengalami situasi yang sama keesokannya atau menumpang saja rumah rakan di Mansurah. Masalahnya saya tak tahu nak menumpang di rumah siapa dan terasa segan pula kerana menyusahkan mereka. Akhirnya saya mengambil keputusan kedua biarpun tak tahu rumah siapa harus saya tuju.

Setelah solat Asar, saya mengunjungi sebuah rumah rakan. Niat hanya ingin berziarah tapi keadaan bertukar apabila rakan-rakan saya besungguh-sungguh mengajak saya menumpang di rumah mereka. Dapatlah juga saya melepaskan penat setelah menempuh satu hari yang berliku. Terima kasih yang tak terhingga kepada mereka kerana sudi menerima saya. Jazakullahu khairan kathira yang hanya mampu saya doakan.

Pagi Rabu, saya menunaikan solat Subuh (takala ini waktu Subuh sekitar 4.05 pagi) berjemaah di masjid Salam. Setelah mengaji dan menghafal Quran di masjid, saya mengambil kesempatan menziarahi rakan-rakan rumah lama saya, di Murur.

Saya kembali ke jawazat. Alhamdulillah saya sempat tiba hampir jam 8 pagi. Hari ini pejabat dibuka jam 8.30 pagi. Saya wafidin pertama yang sampai di samping beberapa orang rakyat tempatan yang telah tiba awal untuk membuat urusan. Apabila kaunter dibuka, saya segera menghantar borang. Hingga lebih kurang jam 9.30 pagi, hanya saya saja yang menghantar borang. Beberapa orang siswa dan siswi kelihatan untuk berurusan. Di sini saya berkenalan dengan seorang mahasiswa perubatan tajaan Mara di Kuliah Perubatan Mansurah yang turut membuat urusan iqamah. Menariknya, doktor tersebut berasal dari Setiu, Terengganu.

Urusan saya di jawazat selesai sekitar jam 10 pagi. Syukurlah tak kena apa-apa masalah kerana baru-baru ini saya telah bertukar pasport baru. Satu minggu lagi saya harus kembali ke Mansurah untuk ke pejabat amni daulah Mansurah bagi urusan iqamah peringkat kedua. Kemudian ke jawazat sekali lagi untuk peringkat terakhir mengambil cop iqamah pada sebulan akan datang. Demikian urusan yang amat ruwet sekali di Mansurah sedari tahun lepas.

Sebelum pulang, saya singgah ke kuliah untuk mengambil tasdiq untuk diserahkan kepada amni daulah. Urusan berjalan lancar dan sempat bertemu beberapa orang rakan di sana. Hampir Zohor, saya bergerak ke stesen Utubis Dauli dan terus mengambil bas pulang ke Kaherah. Tanda semakin berusia, tubuh saya cepat kewalahan dan kurang betah bertahan lama apabila bermusafir. Justeru saya ingin segera pulang beristirehat. Kepada rakan yang telah menumpangkan saya, pohon berbanyak kemaafan kerana tak sempat ketemu kembali sebelum berpisah.

Deretan kedai daging di tepi jalan utama di sebuah perkampungan dalam perjalanan menuju Mansurah.

Setengah jam selepas Asar barulah saya tiba di asrama. Badan lesu namun saya gagahi jua untuk melunaskan kewajipan dan kemudiannya mengisi perut sebelum beristirehat. Demikianlah sebahagian rutin perjalanan sebagai mahasiswa di bumi anbiya’ ini.

Sedikit ingatan dan iktibar buat diri yang sentiasa alpa: tak perlu berkeluh kesah dengan ujian yang sedikit, rintangan yang berlaku pasti menjadi kenangan manis dan pengalaman berguna di masa hadapan. Begitulah hendaknya sentiasa menginsafi akan setiap perkara yang berlaku kerana padanya terkandung kasih sayang dan hikmah daripada Allah. Justeru bersyukurlah atas segala nikmat dan rahmat yang diperolehi dengan melipatgandakan ketaatan kepada Allah dalam usia yang seketika cuma ini. Semoga hidayah dan inayah Allah berkekalan buat kita semua.

Salam Mujahadah 1429H!


Glosari:
Iqamah : visa.
Karnih : kad.
Tasdiq : surat akuan dan pengesahan.
Jawazat : imigresen.
Damghah : setem cukai (duty stem).
Imtihan : peperiksaan

Wafidin : orang asing.
Amni daulah : pihak keselamatan.

1 comments:

Aree Tone WoW said...

salam... syok nyer.. my blog I