Monday, April 7, 2008 | By: Anjung Hikmah

Bumi Permusafiran...

ALHAMDULILLAH… setelah agak lama bertangguh untuk menulis, akhirnya dapat juga saya mencoret sedikit catatan.

Buat makluman, ketika ini saya tidak lagi berada di Malaysia, tetapi di Mesir yang terkenal dengan jolokan bumi anbiya, iaitu bumi para nabi yang diutuskan Allah. Pun begitu, di sini juga terkenal dengan dinasti firaun yang pernah memerintah beberapa kurun lamanya. Kesan tinggalan mereka masih banyak kelihatan hingga kini.

Saya berada di sini sejak 24 Rabiul Awal yang lalu kerana ingin menghabiskan baki pengajian. Kedatangan saya secara bersendirian tanpa anak dan isteri. Buat masa ini saya masih menetap di Kaherah dan hanya pulang ke universiti di cawangan Mansurah sekali sekala atas urusan kuliah. Memandangkan subjek saya hanyalah hafalan Quran, jadi tak perlulah saya menghadiri kuliah.

Jumaat dan Sabtu masih merupakan hari minggu di sini. Saya berkesempatan menghabiskan masa bersama adik saya yang ke-6, yang mengambil jurusan Syariah di Universiti al-Azhar, Kaherah. Memandangkan dia hanya bersendirian bersama teman-teman serumahnya yang masih baru, jadi banyak perkara yang belum diterokai. Sebagaimana yang dijanjikan, pagi Jumaat dan Sabtu lalu, kami bersarapan dengan makanan tradisi di sini.
Menu pagi Jumaat adalah roti fino yang panjang sejengkal (sekarang 1 junaih hanya dapat 5 batang sahaja), jubnah tallagah (keju putih yang tidak masin), hirisan linsyun (daging) lembu dan ayam serta kepingan syibsy (kentang goreng). Sayangnya hindangan sarapan pagi Jumaat ini terlupa untuk dirakam buat tatapan bersama.

Manakala menu pagi Sabtu pula adalah terdiri daripada roti ‘isy, to’miyyah (kacang panggang hancur yang dicampur beberapa rempah dan digoreng), kacang foul (kacang panggang yang biasanya dijual di dalam tin di Malaysia) dan syibsy. Sekadar memelayukan sedikit hidangan ini, kami telah menggubah sedikit kacang foul yang telah dibeli. Caranya:
  • Panaskan minyak dan tumiskan sedikit bawang bawang putih serta bawang besar hingga naik bau. Jika berminat, boleh tambahkan sedikit halia dan lada.
  • Masukkan sedikit belacan. (Perhatian: ketika menumis belacan, pastikan angin tak bertiup ke rumah jiran-jiran arab anda, kerana mereka amat tidak menggemarinya).
  • Akhirnya masukkan kacang foul. Jika kacang-kacang tersebut agak besar, bolehlah dilenyekkan sedikit agar mudah untuk dicicah nanti.





(to'miyyah syamiah & foul belacan almodified)


Hasilnya cukup lumayan. Selamat mencuba!

0 comments: