Friday, August 19, 2011 | By: Anjung Hikmah

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan 1432H

Mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan al-Mubarak kali ini, saya ingin menampal beberapan catatan tazkirah ringkas yang pernah dimuatkan dalam kolum editor risalah Ramadhan di tempat saya bekerja. Semoga beroleh manfaat buat semua... insyaAllah.



Tazkirah 1: SELAMAT DATANG WAHAI RAMADHAN 1432H!

RAMADHAN kini menjelma lagi. Bulan yang menjanjikan pelbagai tawaran ibadah bagi golongan yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Maka ia sepatutnya dianggap sebagai ‘festival ibadah’ dan bukannya pesta untuk memenuhkan perut.

Kedatangan Ramadhan disifatkan sebagai bulan yang penuh keberkatan atau “al-Mubarak”. Rasulullah s.a.w. menyebut dalam sebuah hadith tentang Ramadhan sebagai : “Awalnya dipenuhi rahmat, pertengahannya dihiasi keampunan dan penghujungnya dijanjikan dengan pembebasan dari azab neraka.”

Kerana itu bulan Ramadhan sangat sinonim dengan akhlak sabar yang perlu diterapkan dalam diri seorang muslim. Sabar bukan sahaja bererti dapat menahan diri terhadap segala ujian yang menimpa. Ia juga bermaksud dapat menahan diri daripada melakukan sebarang maksiat yang sememangnya dimurkai oleh Allah.

Oleh itu, sayugia kita merebut peluang yang amat sukar diperolehi ini. Entahkan bila Ramadhan yang datang dapat kita bertemu lagi. Justeru amatlah rugi bagi sesiapa yang  mensia-siakan kedatangan Ramadhan kali ini dengan kekal malas melakukan ibadah. Sebaliknya dia berterusan membiarkan dirinya terperangkap dalam kancah dan budaya mazmumah.

 

Tazkirah 2: ANDA & RAMADHAN : BAGAIMANA?

HARI DEMI HARI terus berlalu. Sedar tak sedar sudah setengah daripada bulan Ramadhan meninggalkan kita. Ini bermakna kita telah melepasi 10 hari pertama yang dijanjikan dengan rahmat dan sedang berada dalam 10 hari kedua pula yang dijanjikan dengan keampunan sebagaimana sabda Baginda s.a.w..

Maka dalam menghintung hari-hari yang tinggal dalam 10 hari kedua, sebelum melangkah kepada 10 hari terakhir Ramadhan tahun ini, marilah kita menilai sejauhmana kita bersungguh-sungguh meraih tawaran yang diberikan Allah kepada kita. Bimbang juga andai semakin masa berlalu semakin jauh pula kita daripada Allah, wal’iyazubillah.

Justeru usahlah kita bertangguh lagi. Ramadhan akan datang belum tentu kita dapat bersua kembali. Kita mestilah meningkatkan daya usaha dan tenaga supaya dapat melepasi Ramadhan tahun ini dengan penuh kejayaan. Agar seusai menjalani ibadat Ramadhan kali ini maka akan tersemailah jatidiri seorang yang berpuasa dalam diri kita sebagaimana layaknya nanti… insyaAllah!



Tazkirah 3: PAMITAN 17 RAMADHAN

PERISTIWA 17 RAMADHAN sememangnya menggamit ingatan seluruh umat Islam. Pada saat inilah Allah menurunkan wahyunya yang pertama kepada Nabi Junjungan, Muhammad s.a.w.. Sebuah kitab yang menjadi mukjizat terhadap bukti kerasulan Baginda dan kebenaran ajaran ini sekaligus berkekalan dalam pemeliharaan Allah SWT.

Kerana itu sebagai umat Islam yang baik kita perlu menyedari akan tuntutan dan hak al-Quran ke atas diri kita. Sekurang-kurangnya ada enam hak al-Quran kepada setiap orang beriman iaitu:
  1. Beriman dengan kebenaran al-Quran.
  2. Membacanya secara tartil iaitu mengikut kaedah tajwid dan makhraj yang betul. Juga digalakkan bertarannum bagi yang mampu.
  3. Menghafal al-Quran.
  4. Mempelajari isi kandungannya. Ketahuilah bahawa al-Quran adalah sumber kepada setiap ilmu pengetahuan.
  5. Mengamalkan setiap ajaran al-Quran. Allah amat murka kepada golongan ahli kitab yang hanya mengamalkan ajaran mereka sukai dan sebaliknya mengabaikan apa yang mereka benci.
  6. Mendakwahkan al-Quran kepada orang lain.

Selain itu 17 Ramadhan juga menyemaikan semangat jihad dalam diri muslim. Jihad bermaksud bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Meskipun dalam keadaan letih berpuasa dan menghadapi cuaca padang pasir yang panas terik, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya tetap memikul perintah Allah untuk berhadapan dengan kaum musyrikin di medan Badar.

Hal ini mengingatkan kita supaya tidak menjadikan alasan berpuasa bagi mengurangkan daya usaha dan hasil (produktiviti). Sebaliknya bersahurlah sebagai persediaan menghadapi hidup yang sangat bermakna di sepanjang Ramadhan. Kemudian jadikan kelapangan masa daripada mengisi perut saban hari dan ketenangan minda yang diperolehi untuk memperbanyakkan ibadat seperti menuntut ilmu dan membaca al-Quran kerana puasa Baginda s.a.w. hanyalah daripada sahurnya dengan beberapa ulas tamar!

 


2 comments:

lu'lu' wa marjan said...

NEVER GIVE UP YA HABIB..
TERUSKAN BERKARYA...MOGA MNDAPAT MANFAAT BUAT KITA SEMUA..

SALAM RAMADHAN KAREEM..SALAM IDULFITRI 1432h

lu'lu' wa marjan said...

NEVER GIVE UP YA HABIB..
MOGA TERUS THABAT DLM PERJUANGAN INI..TERUSKAN BEKARYA,MOGA MNDPAT MANFAAT YANG BESAR DR SINI,INSYA ALLAH..

-kami sentiasa menyokong tuan-

salam ramdhan kareem n salam idulfitri 1432H.