Saturday, May 31, 2008 | By: Anjung Hikmah

Sekalung Tahniah buat Akhimasrawi

KELMARIN tiba-tiba hati saya tergerak untuk menziarahi seorang sahabat baik saya, Ust. Ahmad Tarmizi bin Ismail, di http://akhimasrawi.blogdrive.com setelah sekian lama tidak berkunjung ke blognya dan mendengar khabar berita. Bukan apa. Disebabkan kesibukan, beliau amat jarang dapat memperbaharui isi kandungan blognya berbanding ketika masih berada di Mesir ini, suatu ketika dahulu.

Ust. Ahmad Tarmizi Ismail aka Akhimasrawi yang murah dengan senyuman.

Ketika di Mesir, Ust. Tarmizi yang lebih dikenali sebagai 'Akhi Mizi' dan menerusi nama pena beliau 'Akhimasrawi' selain 'Naufal', amat giat menulis dalam lapangan kreatif dan juga esei (deskriptif). Disebabkan ruang pentas penerbitan agak terbatas dan demi mencari kepuasan dalam aktiviti penulisan, beliau mengambil inisiatif menerbitkan sendiri hasil penulisannya menerusi blog ketika itu yang beralamat di http://akhimasrawi.cjb.net, dengan memberi nama sebagai "Pujangga Online-Jurnal Jalan Hidup". Kalau tak silap saya weblog beliau itu bermula sekitar Jun 2002 sebelum berpindah ke "Masrawi Online" yang beralamat di http://akhimasrawi.blogdrive.com/ pada 28 Disember 2004. Kekuatan syakhsiah, minda dan imaginasi serta ketajaman bahasa dan mata pena Ust. Tarmizi tergambar melalui karya-karya yang dihasilkan. Antara karya kreatif yang beliau pernah hasilkan adalah seperti:

  • Lagenda Gadis Kedai Bunga

  • Warkah Buat Puteriku

  • Air Mata Karbala Menitis Di Kota Kaherah

  • Masihkah Ada Sinar
  • Kerikil Cinta Humaira
  • Tahanan
  • Hingga Titisan Terakhir
  • Di Dalam Dewan Besar Itu
  • Cinta Sufiah
  • Warkah Terakhir Dari Ramallah
Manakala karya esei deskriptif terbaik yang beliau pernah hasilkan pula adalah seperti:

(Tahun 2002)

  • Rencana: Serangan Ekonomi Sebahagian Jihad
  • Cetusan:OIC Atau Oh I See
  • Laporan: Pound Mesir Dalam Bahaya!
  • Luahan: Apa Ada Pada Sebuah Mesyuarat?
  • Reaksi: Orientalis dan Skil Menyesatkan Umat Islam
  • Komentar: Mangga & Hukum Ekonomi
  • Laporan: Pembentangan Kertas Kerja Muzik Menurut Kaca mata Islam
  • Pendapat: Cara mendorong seseorang lebih berjaya
  • Nostalgia: Dia menulis kejayaannya di atas kertas kecil!
  • Luahan: Impian sebagai penulis prolifik
  • Reaksi: WTC: Ulang tahun pertama serangan ke atasnya!
  • Cetusan: Hang Tuah sebuah lagenda?
  • Luahan: Antara saya dan aku?
  • Pendapat: Teori andaian
  • Luahan: Duit: melupakan kita!
  • Rencana: Era Ulamak dan Gagasan Negara
  • Rencana: Sanggah Evolusi bertunjang Materialis!

(Tahun 2003)

  • Sepatutnya saya tendang saja bola itu!
  • Antara yang menarik dalam pengkajian saya
  • PIRAMID PENDIDIKAN: Respon pada tulisan Khairusy
  • MENTALITI MAHASISWA: Persepsi Terhadap Alam Politik Kampus
  • KARYA SASTERA KITA: Mampukah Menghantar Mesej?
  • Artikel Pendek: MEMAHAMI KONSEP AKAL MANUSIA
  • Paparan Kehidupan: Sayang dan benci!
  • Perbahasan Hukum Memakan Binatang (Hadis Hukum)
  • Berapa kalimah kau bertutur dalam sehari?
  • HUKUM JIHAD
  • Hukum al-Qadha' Dalam Islam
  • Beberapa Khilaf dan Hukum sekitar Al-Fatihah
  • Sifir Kehidupan: Mari menghitung!
  • Falsafah Sebatang Mancis
  • AL-GHAZALI: Perintis Falsafah Islam
  • PENULIS DAN PENULISAN: Di mana dan Ke mana?
  • Bayi Tabung Uji: Menurut Perspektif Sains dan Fiqh Islami
  • Wajarkah Pelajaran Seks?
  • Pasca Dua Tahun Tragedi 11 September
  • Kenapa Saya Cemburu Nik Nazmi?
  • ANTARA DUA BENGKEL: Adakah akan lahir penulis?
  • Iklim Perubahan Pemikiran
  • Rencana: Relevankah Merotan Pelajar?
  • PALOH: Kecelaruan Hidup Zaman Perang
  • Manusia Menghadapi Ramadhan

Hasil buah tangan beliau dalam arena penulisan kemudiannya banyak tersiar dalam majalah-majalah suara kampus terbitan Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) mahupun Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) di bawah persatuan induk pelajar, Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM); dan selepas itu ke majalah dan akhbar di tanah air seperti "Majalah i". Apa yang mengagumkan saya ialah apabila salah seorang penulis dan pemikir tanahair, Fathi Aris Omar atau dikenali juga dengan nama Aqil Fithri, pernah membuat pautan terhadap hasil penulisan Akhimasrawi di weblognya menerusi blog beliau (pohon maaf kerana saya lupa blog yang mana satu!).

Akhimasrawi seringkali muncul dalam program penulisan di Mesir sama ada dalam majlis anjuran BKAN, DPM mahupun peringkat PMRAM sendiri. Acap kali bertindak sebagai moderator pembimbing dalam bengkel penulisan kreatif, beliau tidak lokek mencurah idea dan kritikan membina kepada penulis-penulis baru menerusi wadah penulisan Islam. Mutakhir ini khabarnya Akademi Karyawan Mansurah (AKAR) yang berada di bawah DPM Mansurah berminat melamar beliau menjadi moderator via yahoogroup bagi membimbing penulis-penulis baru di sana.

Graduan jurusan Syariah Islamiah Universiti al-Azhar cawangan Tanta pada tahun 2003 ini dan kini bertugas sebagai guru J-QAF (kalau tak silap di Langkawi) telahpun mendirikan rumahtangga pada 19 Mei 2006, setelah enam bulan bertunang dengan Ustzh. Althoharoh binti Ali (http://ukhti-jazirah.blogspot.com/). Tanpa saya duga rupa-rupanya pasangan bahagia ini telah selamat menerima cahayamata mereka yang pertama baru-baru ini pada 2 Mei 2008. Putera Mujahid mereka tersebut telah diberikan nama Ahmad Naufal Alwafi Bin Ahmad Tarmizi. Saya pohon berbanyak kemaafan kepada teman saya tersebut kerana agak lambat mengetahui berita gembira ini sehinggalah lewat ziarah saya ke blog beliau kelmarin.

Ust. Tarmizi bersama Ustzh. Althoharoh pada hari perkahwinan mereka.

Moga masih belum terlambat untuk saya ucapkan sekalung tahniah kepada Ust. Tarmizi dan Ustzh. Althoharoh atas kehadiran cahayamata sulung mereka itu. Menerusi perkembangan terkini di dalam blog Akhimasrawi, saya yakin beliau sedang giat menyusun langkah untuk kembali ke dunia penulisan, kini bertempat di tanah air, sebagaimana rakan-rakan seperjuangan yang lain seperti Mohd Nazmi Yaakub (Mohnas-http//kawat.blogspot.com), Syarifah Salha Syed Ahmad (sysalha.blogspot.com), Amiza Khusry (Putera Kesuma-http://amizakhusyri.blogspot.com/) dan A. Ubaidillah Alias (http://cairostudent.blogspot.com)... sekadar menyebut beberapa nama. Semoga Allah melimpahkan barakah yang berpanjangan seiring dengan kejayaan dalam projek novel "Cinta dan Rona Kinanah" yang bakal dihasilkan tak lama lagi, amin wa insyaallah. Salam Mujahadah buat Ust. Ahmad Tarmizi sekeluarga!

Glosari:

Syakhsiah : peribadi.

Friday, May 30, 2008 | By: Anjung Hikmah

Hidangan Tengah Malam dan Resepi Salatah

SUDAH BEBERAPA MALAM dalam minggu ini kami menerima hidangan tengah malam dan menurut adik keenam saya semalam adalah yang terakhir. Hidangan tersebut merupakan lebihan makanan yang dimasak kepada rombongan jemaah umrah Malaysia yang singgah berziarah ke Mesir. Tidak pula saya ketahui sama ada mereka akan ataupun telah selesai mengerjakan umrah, rombongan dari agensi mana, jumlah ahli dan maklumat-maklumat lain lagi kerana tiada siapa yang dapat menjelaskan perkara tersebut. Biarpun agak lewat hidangan yang berlebihan tersebut dihantar ke asrama Terengganu, iaitu sekitar antara jam 12 tengah malam hingga 1.30 pagi, namun kami amat bersyukur dan khususnya saya sendiri kerana berpeluang merasai hidangan yang sedap.


Juadah pada malam Khamis yang lalu.


Apapun saya kira saya perlu berhati-hati apabila menjamah sambal berlada. Sememangnya saya menggemari jenis-jenis pencicah dan sambal seperti sambal belacan dan budu (apatah lagi jika dicampur dengan tempoyak) yang dimakan bersama nasi beserta ikan. Tetapi mungkin atas faktor usia semakin lanjut, saya perlu menghadkan jenis makanan pedas dan sambal pencicah ini bagi mengelakkan perut meragam. Suatu keadaan yang amat berbeza berbanding di kala saya masih muda dahulu. Apapun saya kira jika dapat makan sayuran dalam kuantiti yang banyak (buah-buahan pun boleh juga) maka masalah tersebut boleh diatasi. Kebetulan dalam juadah malam Khamis lalu terselit sambal belacan dan dek jarang bersua maka saya terlupa untuk ‘berpantang’ sedikit. Akibatnya pada keesokan hari saya terpaksa berulang kali masuk ke daurul miyah. :P

Bercerita tentang sayuran, terdapat sejenis adunan sayuran campuran yang disediakan oleh masyarakat tempatan di sini. Saya telah lama ingin mempelajari resepi tersebut tetapi tidak mengetahui akan bahan-bahan ramuannya. Setelah puas menyiasat dan memerhatikan kaedah orang-orang Arab di sini menyediakan beberapa hidangan maka hasilnya baru-baru ini saya dapat jua membuat sendiri sayuran campuran tersebut. Ia dipanggil salatah dan biasanya dimakan bersama firakh masywi atau dengan sandwichat ‘isy dan to’miyyah.

Sangat mudah menyediakan salatah ini. Memandangkan ia tidak perlu dimasak, saya kira ia termasuk dalam kumpulan ulam dalam hidangan. Selain membekalkan zat vitamin dan zat cahaya matahari daripada sumber primer, ia juga dapat menghilangkan rasa muak ketika makan. Bagi mendapatkan rupa awet muda, mengamalkan pemakanan sayur-sayuran termasuk ulam seperti salatah ini juga menjadi salah satu petuanya. Untuk rakan-rakan yang ingin mencuba sendiri resepi tersebut, di sini saya kongsikan bahan-bahan ramuannya.

Salatah.


Resepi salatah.
Bahan-bahan:

1 ikat daun jarjil.
1 ikat daun kusbarah.
1 ikat daun ba’donis.
1 batang khiar.
1 biji cabai gajah.
2 biji tomato.
Sedikit garam.

Aturan:
Potong semua bahan di atas dan kumpulkan semuanya dalam sebiji mangkuk. Kemudian taburkan garam secukup rasa. Gaul dan hidangkan.

Petua:
1) Cara memotong bahan-bahan adalah mengikut jenis hidangan. Sekiranya dihidangkan bersama:
- isy dan to’miyah – adalah sesuai dipotong sederhana halus.
- firakh masywi – dipotong kasar.
2) Hidangan ini juga sesuai dijadikan ulam bersama nasi
.

Dari kiri: daun ba'donis, daun kusbarah dan daun jarjil.


Nota: Saya pohon kemaafan kerana kurang arif nama lain dalam bahasa Melayu bagi daun jarjil dan ba’donis serta kewujudan daun-daun tersebut -ditanam atau dijual- di Malaysia. Apapun ayahanda saya memang ada menanam daun jarjil di rumah kerana saya pernah membawa pulang benihnya ketika pulang ke Malaysia tak lama dulu.

Glosari:
Daurul miyah : bilik air.
Salatoh : sejenis makanan daripada sayuran, acar.
Firakh : ayam.
Masywi : panggang, bakar.
Sandwichat : sandwich.
‘Isy : roti.
Jarjir : disebut gargil mengikut loghat Mesir, sejenis sayuran berkhasiat yang pahit rasanya.
Kusbarah : ketumbar.
Khiar : timun.

Saturday, May 24, 2008 | By: Anjung Hikmah

Pasca Imtihan

SEKEMBALI DARI Mansurah petang 14 Jamadil Awal yang lalu saya agak kewalahan dari segi fizikal dan mental. Mungkin rentetan dek kekurangan tidur, urusan jawazat yang tak juga selesai dan kemudiannya bergegas pulang ke Kaherah. Keadaan ini menyebabkan keesokannya saya ‘lumpuh’ dan lebih banyak berehat di bilik dari berjalan. Namun apabila masuk hari seterusnya saya mula rasa kurang selesa jika tidak dapat berbuat apa-apa. Justeru saya memulakan aktiviti menulis dengan mengirim khabar kepada keluarga lewat menerusi emel.

Untuk makluman Mesir sekarang menempuh awal musim soifi. Pusat-pusat hadhanah, sekolah-sekolah di peringkat ibtidaie, i’dadi dan thanawi telahpun bercuti. Manakala pusat-pusat pengajian tinggi pula kini berada dalam fatrah terakhir pengajian atau lebih tepatnya imtihan. Setelah itu para mahasiswa juga akan bercuti selama tiga bulan menghabiskan musim soifi ini.

Perpustakaan Awam (Housni) Mubarak, Mansurah.


Seperti suatu kebiasaan apabila tiba musim imtihan dan sewaktu menjalani fatrah gawat ini pelbagai rancangan untuk mengisi musim soifi timbul dan terlintas benak fikiran. Dari semuluk-muluk agenda yang ingin dilaksanakan sama ada bertalaqqi dan bertafaqquh, menghafal Quran, berziarah rakan-rakan, rehlah dan kembara, mengikuti aktiviti persatuan sehinggalah kepada berehat dan tidur sepuas-puasnya, kahwin dan tak kurang pula yang sudah bersiap-siap menempah tiket untuk pulang bercuti di Malaysia. Pendek kata segala rancangan terbayang dalam minda masing-masing pada ketika ini mahupun yang terhambur dalam perbincangan bersama rakan-rakan setiap hari.

Pun begitu tatkala imtihan berlalu, seperti biasa juga sindrom ini hilang bersama hembusan semilir angin musim soifi yang memasakkan buah ‘inab dan buah tamar di pohon. Selain daripada golongan yang meneruskan niat untuk pulang bercuti ke tanah air, hanya segelintir mahasiswa masih berminat meneruskan agenda bistari yang telah dirancangkan. Manakala selebihnya pula lebih menumpukan kepada agenda-agenda diluar perancangan. Bukan bermakna tiada aktiviti berfaedah yang cuba dimanafaatkan sepanjang mengisi masa cuti namun lumrah yang terjadi apabila tiba musim kuliah dibuka semula kedengaran ramai juga mengeluh kerana cuti berlalu dengan sia-sia
.


Sudahkah kita mengkhatami bacaan dan hafazan al-Quran? (Gambar sekadar hiasan)

Para motivator sering mengingatkan kata-kata pujangga: “Apabila anda gagal untuk merancang maka sebenarnya anda merancang untuk gagal”. Kegagalan menentukan piawai antara kehendak dan keperluan atau awlawiyat dalam merangka agenda seringkali mengundang pembaziran dalam tindakan dan pelaksanaan sama ada dari sudut masa, tenaga dan juga wang ringgit. Justeru tidak menghairankan jika masyarakat mahasiswa Islam sendiri gagal memberikan pulangan hasil yang menguntungkan atau sekurang-kurangnya sumbangan yang berbentuk maknawi seperti buah fikiran kepada Islam sepanjang musim cuti ini. Demikian itu skala bercuti hanya sekadar pada tahap mencari liburan dan istirehat semata-mata.

Tidak salah untuk kita merancang. Salahnya apabila kita tidak merancang dan silapnya apabila kita tidak melaksanakan agenda sebagaimana yang dirancangkan. Kerana itu rancanglah pengisian sepanjang musim soifi ini dengan betul. Mulakan dengan mencatat apa yang terdetik dan tergambar difikiran supaya mudah dinilai serta disusun kembali selepas ini. Jangan biarkan segala agenda khususnya yang bernas itu luput begitu saja. Selanjutnya ingatlah kepada pesanan Allah: “Kemudian apabila kamu bertekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakal”. (Ali ‘Imran:159).

Sama-sama kita doakan semoga najah dalam imtihan yang ditempuhi. Tak lupa juga agar Allah memberkati segala amal yang dilakukan. Salam mujahadah musim soifi buat semua!

Glosari:
Jawazat : imigresen.
Soifi : musim panas.
Hadhanah : taska.
Ibtidaie : sekolah rendah.
I’dadi : sekolah menengah rendah.
Thanawi : sekolah menengah tinggi.
Imtihan : peperiksaan.
Talaqqi : menimba ilmu secara musyafahah atau berdepan dengan guru.
Tafaqquh : aktiviti menuntut ilmu.
Rehlah : bersiar-siar, berkelah.
‘Inab : anggur.
Awlawiyat : keutamaan, prioriti.
Najah : berjaya.
Mujahadah : perjuangan.

Tuesday, May 20, 2008 | By: Anjung Hikmah

Dedikasi II

HARI INI masuk hari kedua saya masih lagi ‘terperangkap’ di Mansurah. Lantaran terbabas daripada jadual asal, saya belum dapat pulang ke Kaherah. Sepatutnya seusai imtihan pada 11 Jamadil Awal (17hb5) baru-baru ini, maka keesokan harinya saya sudah berada di Kaherah selewat-lewatnya sebelum Isya’ dengan menumpang adik ketiga saya yang mempunyai kertas pada hari yang sama. Namun memandangkan urusan iqamah di pejabat jawazat Mansurah terpaksa ditunda ke hari Selasa kerana pegawai bahagian terlibat bercuti maka terpaksalah saya mengubah rancangan.

Wisma Pentadbiran Muhafazah Mansurah.

Apapun saya bercadang untuk menyelesaikan juga urusan iqamah pada pagi ini. Andai tidak berjaya -wal’iyazubillah- maka saya tidak mempunyai pilihan untuk kembali juga ke Kaherah pada sebelah petang dan datang semula pada hari lain.

Di sini saya ingin merakamkan sekalung penghargaan kepada rakan-rakan seperjuangan atas segala bantuan berbentuk penginapan dan layanan-layanan yang diberikan sepanjang saya berada di Mansurah.

1) Ahli Bait Salam:

Ust. Wan Mohd Hasri Wan Hassan (http://hasrieza.blogspot.com)
Ust. Wan Ali Zulfaqar
Ust. Mohd Hafiz

2) Ahli Bait Murur

Ust. Abdul Kadir Umar (http://abdqodirjailani.blogspot.com)
Ust. Amin Taufiq Mohd Rifain (
http://junjungansetia.blogspot.com)
Ust. Amir Hamzah
Ust. Ihsan

Semoga Allah mengganjari susah payah anda semua dalam bentuk kebaikan sama ada di dunia mahupun di akhirat dan menyirnakan segala keburukan ataupun azab.

Glosari:
Imtihan : peperiksaan.
Jawazat : imigresen.
Iqamah : visa
Muhafazah : negeri, provinsi
Bait : rumah

Saturday, May 17, 2008 | By: Anjung Hikmah

Resepi Bubur Lambuk

SEAKAN MENJADI kebiasaan rakan-rakan saya, sekitar dua tahun ini, meminta saya mengajar dan membuat bubur apabila berkunjung ke rumah sewa lama yang bertempat di Murur, Mansurah. Mungkin kerana dulunya apabila rumah di tingkat atas sudah siap dan disewa oleh rakan-rakan kuliah dari Malaysia (saya menyewa di tingkat dua), saya sering menjamu mereka dengan bubur bila saja berkesempatan. Memandangkan penggunaan bahan yang murah dan jimat maka tidak menjadi masalah untuk saya masak lebih. Resepi bubur ini amat menyihatkan kerana kandungan sayurnya yang banyak yang membekalkan zat-zat vitamin dan membantu proses pencernaan serta sedikit penggunaan beras sebagai sumber karbohidrat. Selain itu kandungan bubur ini adalah kurang lemak kerana tidak menggunakan santan sebagai bahan asas. Rasanya pun jauh lebih ringan dan agak berbeza bagi mereka yang menggemari bubur lemak atau bubur santan tadi. Ia juga amat sesuai bagi mereka yang ingin berdiet.

Rupa bubur lambuk yang telah siap dimasak.

Atas permintaan sahabat-sahabat, di sini saya perturunkan resepi “Bubur Lambuk ala Mesir” di blog ini. Saya namakan bubur ini sebagai “Bubur Pelangi” kerana warnanya yang pelbagai. Resepi asalnya digubah daripada ‘kumpulan resepi bonda’ yang telah diperturunkan oleh bonda saya memandangkan ketiadaan bahan asas sebagaimana yang terdapat di Malaysia.

Bahan-bahan :

1) Bahan tumis.

  • Thaum (dikisar).
  • Basol (dikisar).
  • Janzabil (dikisar/serbuk).
  • Filfil asmar atau filfil aswad (ditumbuk/serbuk).
  • Halba.

2) Bahan sayur.

  • Kacang buncis.
  • Fasolia.
  • Jazar.
  • Sabanieh (sebahagian kami menggelarkannya sebagai ‘kangkung Mesir’).

3) Bahan lauk.

  • Daging / ayam.
  • Telur (digoreng hancur).

4) Sardin tuna hancur (dijual dalam tin leper).

5) Beras (dibasuh dan ditoskan).

6) Air.

Kaedah memasak :

  • Tumiskan thaum, basol dan janzabil dahulu hingga naik bau. Kemudian masukkan filfil asmar dan halba.
  • Masukkan daging atau ayam. Tutup periuk dan besarkan api untuk seketika.
  • Masukan beras dan air. Tunggu sehingga menggelegak.
  • Kemudian masukkan kacang buncis, fasolia dan jazar.
  • Setelah itu masukkan telur dan sardin tuna. Gaulkan seketika hingga sebati.
  • Masukkan sayur daun (sabanieh).
  • Apabila hampir masak, masukkan bahan perasa seperti garam dan gula secukupnya.
  • Tutup api ketika keadaan nasi hampir hancur dan hidangkan.


Petua :

  • Sukatan beras dan air ialah: ½ cawan beras bersamaan lima cawan air. Ini adalah sukatan asas bagi membuat apa-apa jenis bubur yang lain seperti bubur kacang hijau dan bubur pulut hitam. Perhatian: agar lebih mudah, sukat periuk dengan cawan berisi air terlebih dahulu bagi mengetahui kuantiti beras dan air yang perlu digunakan.
  • Memandangkan kebiasaannya sabanieh hanya dijual pada musim sejuk, boleh digantikan dengan sayur khasm (batang dibuang dan diambil daun saja) atau daun ‘inab.
  • Kacang buncis, fasolia dan jazar boleh dibeli di pasar raya dalam paket siap bungkus atau diganti dengan paket sayur campur yang lain.
  • Bagi yang berminat dengan makanan laut, boleh menambah bahan seperti sotong, udang dan ikan panggang yang diambil isinya. Anda juga boleh menambah keropok keping yang masih belum digoreng dalam resepi bubur anda.
  • Untuk menjadikan bubur anda lebih wangi dan berseri, boleh masukkan serbuk kunyit dan serai (dikisar bersama bawang) dalam masakan.
  • Mereka yang sukakan kiub ayam juga memasukkannya bagi menambahkan perisa bubur.
  • Jangan biarkan api terlalu besar ketika masakan mulai menggelegak kerana ia akan menyebabkan nasi menjadi hancur sepenuhnya.

Selamat mencuba dan menjamu selera!


Glosari :

Thaum : bawang putih
Basol : bawang besar
Janzabil : halia
Filfil asmar
atau filfil aswad: lada hitam
Fasolia : kacang peas
Jazar : lobak
Sabanieh : sejenis sayur berdaun, rasanya seperti kangkung apabila dicelur dan ada sebahagian rakan yang mengatakan ia adalah bayam
Khasm : sejenis sayur berdaun seperti salad yang menggantikan sawi di sini.
‘Inab : anggur.

Thursday, May 15, 2008 | By: Anjung Hikmah

Dedikasi...

SYUKUR dirafa'kan kepada Ilahi kerana limpahan nikmat, rahmat dan kasih sayang-Nya kerana memberikan keizinan buat diri yang lemah ini untuk terus melakarkan bicara atas pentas maya ini. Selawat dan salam tak lupa diutuskan kepada Rasul junjungan mulia, Muhammad s.a.w., para sahabat, ahli bait dan seluruh pejuang Islam sepanjang zaman.

Ruang dalam Masjid al-Azhar, Kaherah. (Gambar sekadar hiasan)

Sepanjang permukiman saya di Mansurah ini, di sini saya ingin merakamkan setinggi penghargaan ditujukan kepada beberapa rakan-rakan yang telah sudi mengajarkan saya beberapa tips dan mencurahkan tenaga serta buah fikiran dalam usaha mengemaskini dan ‘menaiktarafkan’ blog ini. Biarpun dalam kesibukan mereka sendiri mentelaah buku-buku di kala fatrah imithan ini. Hanya Allah sahaja yang layak dan mampu membalas jasa anda semua. Mereka tersebut ialah:


Glosari:

Rafa' : panjat.
Imithan : peperiksaan.
Monday, May 12, 2008 | By: Anjung Hikmah

Musim Imtihan...

MUSIM IMTIHAN kembali lagi. Hari ini saya kembali bergelandangan di bumi Mansurah. Menunaikan amanah perjuangan ilmu yang masih terpundak di bahu. Di Mansurah saya menumpang rumah teman baik saya, Ust Wan Mohd Hasri yang merupakan salah seorang orang kuat di sini. Beliau boleh diziarahi di http://www.hasrieza.blogspot.com, .


Berikut adalah jadual imtihan saya yang bermula esok:
  • 12hb5 - Quran Karim, tahriri (takhalluf tahun 3)
  • 14hb5 - Quran Karim, syafawi (tahun 3&4)
  • 17hb5 - Quran Karim, tahriri (tahun 4)
Mungkin saya tidak lama bermukim di sini. Seusai imtihan selesai saya akan pulang ke Kaherah semula. Biarpun bumi Mansurah banyak menyimpan memori dan nostalgia buat diri namun ia takkan melemah semangat juang saya untuk terus mengembara mencari ilmu, insyaallah. Apapun doakan agar saya dan teman-teman seperjuangan yang lain berjaya menempuh cabaran ini hingga lulus dengan cemerlang dan baik. Sudah tentu kecermelangan yang diimpikan itu tidak sekadar di dunia sahaja bahkan hingga ke akhirat nanti pula. Amin... Ya Rabb!!

Salam Mujahadah tanpa nihayah buat semua!

Glosari:
Imtihan : peperiksaaan.
Tahriri : bertulis.
Takhalluf : subjek yang dibawa dari tahun sebelumnya.
Syafawi : lisan.
Nihayah : akhir.