Tuesday, November 13, 2012 | By: Anjung Hikmah

Catatan Penghujung Tahun Hijri

MUTAKHIR INI saya amat jarang dapat mengikuti tulisan saudara Ahmad Tajdid menerusi kolum Harakahdaily mahupun edisi cetak. Sama ada saya telah jarang atau cuai ketika membaca helaian akhbar itu sehingga terlepas tulisannya atau mungkin juga penulis tersebut sememangnya jarang menulis.

Ahmad Tajdid antara penulis kegemaran saya sewaktu menelaah akhbar Harakah edisi cetak mahupun elektronik. Sama juga dengan penulis-penulis seperti Pak Subki Abdul Latif, Ahmad Lutfi Othman, Disman, Shirzat Lifeboat, Sayuti Omar, Zulkifli Yahya dan ramai lagi dalam akhbar milik parti Islam terulung di Malaysia. Masing-masing mempunyai gaya tersendiri dalam penyampaian mereka sehingga menjadikan saya terpaku dan ralit menekuni setiap tulisan mereka. Ya... saya mengakui ini antara hasil pesanan dan latihan kem penulisan yang pernah disertai... iaitu "membaca dari sudut seorang penulis dan bukan sekadar pembaca jika mahu menjadi penulis yang berjaya" [heh hee... dan saya sendiri masih belum menjadi seseorang dalam arena penulisan ini].

Namun di sebalik itu juga, sebenarnya ada suatu perkara lain juga yang menyebabkan saya teruja untuk membaca tulisan Ahmad Tajdid. Seringkali saya membayangkan bahawa penulis adalah rakan baik saya iaitu alFadhil Ustaz Ahmad Tarmizi tatkala membaca tulisan beliau. Hahahaa… sudah tentulah ianya mustahil. alFahdhil Ustaz tentunya takkan merahsiakan perkara ini dengan saya apatah lagi mungkin mempunyai cukup ruang untuk menulis dalam perspektif politik dan semasa begitu. Menulis sebegitu juga mungkin boleh mengundang bahaya bagi status beliau... sekurang-kurangnya masa kini.

Pun begitu saya mengenangkan hasrat dan cita-cita alFadhil Ustaz yang pernah menyuarakan kepada saya sewaktu di Tanta dulu untuk menjadi seorang penulis prolifik pada masa akan datang. Dan saya tentunya selalu mendoakan agar beliau tidak lupa dengan cita-citanya itu seterusnya berjaya menggapai cita-citanya meskipun buat masa kini blognya hanya dihiasi dengan kepadatan jadual kuliahnya setiap bulan. ;-)

Rindu dengan tulisan beliau dan semoga alFadhil Ustaz tidak ketinggalan di belakang Ustaz Wan Ahmad Ubaidillah Alias yang kian mengorak langkahnya... amin wa insyaAllah!

Salam Mujahadah sempena kedatangan Hijrah 1434H!


Friday, August 19, 2011 | By: Anjung Hikmah

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadhan 1432H

Mengambil kesempatan daripada kedatangan Ramadhan al-Mubarak kali ini, saya ingin menampal beberapan catatan tazkirah ringkas yang pernah dimuatkan dalam kolum editor risalah Ramadhan di tempat saya bekerja. Semoga beroleh manfaat buat semua... insyaAllah.



Tazkirah 1: SELAMAT DATANG WAHAI RAMADHAN 1432H!

RAMADHAN kini menjelma lagi. Bulan yang menjanjikan pelbagai tawaran ibadah bagi golongan yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Maka ia sepatutnya dianggap sebagai ‘festival ibadah’ dan bukannya pesta untuk memenuhkan perut.

Kedatangan Ramadhan disifatkan sebagai bulan yang penuh keberkatan atau “al-Mubarak”. Rasulullah s.a.w. menyebut dalam sebuah hadith tentang Ramadhan sebagai : “Awalnya dipenuhi rahmat, pertengahannya dihiasi keampunan dan penghujungnya dijanjikan dengan pembebasan dari azab neraka.”

Kerana itu bulan Ramadhan sangat sinonim dengan akhlak sabar yang perlu diterapkan dalam diri seorang muslim. Sabar bukan sahaja bererti dapat menahan diri terhadap segala ujian yang menimpa. Ia juga bermaksud dapat menahan diri daripada melakukan sebarang maksiat yang sememangnya dimurkai oleh Allah.

Oleh itu, sayugia kita merebut peluang yang amat sukar diperolehi ini. Entahkan bila Ramadhan yang datang dapat kita bertemu lagi. Justeru amatlah rugi bagi sesiapa yang  mensia-siakan kedatangan Ramadhan kali ini dengan kekal malas melakukan ibadah. Sebaliknya dia berterusan membiarkan dirinya terperangkap dalam kancah dan budaya mazmumah.

 

Tazkirah 2: ANDA & RAMADHAN : BAGAIMANA?

HARI DEMI HARI terus berlalu. Sedar tak sedar sudah setengah daripada bulan Ramadhan meninggalkan kita. Ini bermakna kita telah melepasi 10 hari pertama yang dijanjikan dengan rahmat dan sedang berada dalam 10 hari kedua pula yang dijanjikan dengan keampunan sebagaimana sabda Baginda s.a.w..

Maka dalam menghintung hari-hari yang tinggal dalam 10 hari kedua, sebelum melangkah kepada 10 hari terakhir Ramadhan tahun ini, marilah kita menilai sejauhmana kita bersungguh-sungguh meraih tawaran yang diberikan Allah kepada kita. Bimbang juga andai semakin masa berlalu semakin jauh pula kita daripada Allah, wal’iyazubillah.

Justeru usahlah kita bertangguh lagi. Ramadhan akan datang belum tentu kita dapat bersua kembali. Kita mestilah meningkatkan daya usaha dan tenaga supaya dapat melepasi Ramadhan tahun ini dengan penuh kejayaan. Agar seusai menjalani ibadat Ramadhan kali ini maka akan tersemailah jatidiri seorang yang berpuasa dalam diri kita sebagaimana layaknya nanti… insyaAllah!



Tazkirah 3: PAMITAN 17 RAMADHAN

PERISTIWA 17 RAMADHAN sememangnya menggamit ingatan seluruh umat Islam. Pada saat inilah Allah menurunkan wahyunya yang pertama kepada Nabi Junjungan, Muhammad s.a.w.. Sebuah kitab yang menjadi mukjizat terhadap bukti kerasulan Baginda dan kebenaran ajaran ini sekaligus berkekalan dalam pemeliharaan Allah SWT.

Kerana itu sebagai umat Islam yang baik kita perlu menyedari akan tuntutan dan hak al-Quran ke atas diri kita. Sekurang-kurangnya ada enam hak al-Quran kepada setiap orang beriman iaitu:
  1. Beriman dengan kebenaran al-Quran.
  2. Membacanya secara tartil iaitu mengikut kaedah tajwid dan makhraj yang betul. Juga digalakkan bertarannum bagi yang mampu.
  3. Menghafal al-Quran.
  4. Mempelajari isi kandungannya. Ketahuilah bahawa al-Quran adalah sumber kepada setiap ilmu pengetahuan.
  5. Mengamalkan setiap ajaran al-Quran. Allah amat murka kepada golongan ahli kitab yang hanya mengamalkan ajaran mereka sukai dan sebaliknya mengabaikan apa yang mereka benci.
  6. Mendakwahkan al-Quran kepada orang lain.

Selain itu 17 Ramadhan juga menyemaikan semangat jihad dalam diri muslim. Jihad bermaksud bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Meskipun dalam keadaan letih berpuasa dan menghadapi cuaca padang pasir yang panas terik, Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya tetap memikul perintah Allah untuk berhadapan dengan kaum musyrikin di medan Badar.

Hal ini mengingatkan kita supaya tidak menjadikan alasan berpuasa bagi mengurangkan daya usaha dan hasil (produktiviti). Sebaliknya bersahurlah sebagai persediaan menghadapi hidup yang sangat bermakna di sepanjang Ramadhan. Kemudian jadikan kelapangan masa daripada mengisi perut saban hari dan ketenangan minda yang diperolehi untuk memperbanyakkan ibadat seperti menuntut ilmu dan membaca al-Quran kerana puasa Baginda s.a.w. hanyalah daripada sahurnya dengan beberapa ulas tamar!

 


Friday, January 7, 2011 | By: Anjung Hikmah

Resepi lagi...

SAYA MENJADI kurang pasti untuk menulis sebarang catatan dalam tempoh terdekat ini. Sudah lama hanya menulis di kanvas hati dan cuba merakam dengan ‘minda merdeka’ yang kemudiannya sering hilang bila berlaku cubaan menjengah ke jendela blog. Hal yang membuatkan saya sekadar tegar sebagai pembaca dan pemikir pada catan-catan huruf milik karyawan lain.

Isi tulisan kali ini pasti kurang menarik minat sesiapa. Pertama kerana saya sudah lama tidak bersenam hingga menyebabkan otot-otot fikiran saya semakin lesu sementelahan jari-jemari saya telah bertukar menjadi obes sehingga kaku untuk menari dengan cekap dan laju di papan kekunci komputer. Kedua kerana isu yang cuba digarapkan tidak penting melainkan hanya bakal memenuhi kantung perut lebih daripada kantung fikir. Almaklumlah rasanya banyak penjejak ke blog ini pun adalah kerana mencari dan mengadap conteng-conteng resepi yang pernah dihadap dan dilahap suatu ketika di Mesir dulu. Kelesuan saya untuk muncul dan memindahkan anasir dakwah serta input berguna kepada diri sendiri boleh juga menjadi penyebab kepada teratak ini semakin usang, reput dan berhantu (yang sememangnya luar konteks dan tak ada kaitan dengan tahyul 'Hantu Kak Limah Balik Rumah'). Mujahadah yang tinggi diperlukan sewaktu berkarya, sesuatu yang kini semakin jarang saya miliki menyebabkan saya tidak lagi tersenarai sebagai mujahid ulung dalam bidang ini sebarisan bersama teman-teman yang lain. Sememangnya saya berusaha agar tidak gugur dari perjuangan dengan melakukan aktiviti kecil-kecilan. Apapun mungkin juga dek kebelakangan ini terlibat dengan salah satu aktiviti semasa berada di Mesir maka dapatlah  jua saya gagahi kekejangan diri untuk berkongsi bait-bait bisu di hamparan blog ini.

Oklah... sebagaimana Rasulullah s.a.w. berpesan tentang sebaik-baik amal adalah yang sedikit tetapi berterusan daripada amal yang banyak tetapi jarang-jarang, maka saya pun tak mahulah berceloteh panjang pada kali ini. Hanya menunaikan permintaan seseorang yang mahukan resepi untuk digunakan di Mesir (maaf ya... sebenarnya saya dah berada di Malaysia ketika ini). Cuma andai bukan blog ini yang pernah saudara itu buka maka alamatnya besarlah rupa-rupanya perasan saya di sini... (haa... jangan gelak untuk siapa-siapa, ok!).

Dulu saya memang teringin nak tampal resepi ini dalam blog kerana ada jugalah zikrayat sesikit di situ. Namun kerana saya gagal mendapatkan gambar yang sesuai bagi dijadikan bahan bukti untuk sesiapa yang tak pernah jumpa dengan benda alah ini, maka malaslah saya melebih-lebih. Tambahan pula adinda-adinda saya sudah terlalu handal menjadi chef dan sudah ada yang mempunyai chef peribadi seperti saya, maka semangat menampal resepi tiadalah sehangat dulu-dulu. Hingga kinipun saya tak ada gambar untuk memperkenalkan benda alah tersebut bagi menambahkan thaqafah pembaca budiman. Sekadar bersandar kepada zaman serba canggih ini, maka saya persilakan pembaca budiman membuat kajian lapangan sendiri, ya!

* Insyaallah... jika ada kelapangan saya akan gantungkan coretan tersebut nanti.



Sayur Mulukhiar

Bahan-bahan :

(Rencah)
- Thaum,
- Filfil asmar,
- Janzabil,

- Minyak masak,
- Mulukhiar, diambil daun dan boleh juga bahagian batangnya yang lembut. Terdapat juga mulukhiar yang dijual kering dalam bentuk mathun di Mesir. Terpulang bagaimana citarasa anda, ok.
 

Aturan :

- Thaum, filfil asmar dan janzabil ditumbuk halus. Di Mesir anda boleh dapatkan filfil asmar dan janzabil dalam bentuk mathun jika anda tidak mempunyai lesung batu. Apapun anda memang tidak boleh mendapatkan thaum dalam bentuk yang sama -melainkan jika memang anda malas ke pasar- tetapi boleh cuba memotong atau meracip halus. Ah ya… memasukkan janzabil dalam resepi ini rasanya datang daripada kegemaran saya. Jika tidak berminat, anda bolehlah abaikan.

- Panaskan minyak dalam periuk dan tumis rencah sehingga naik bau. Masukkan air setengah periuk dan tunggu sehingga mendidih. Apabila mendidih, masukkan daun mulukhiar. Taburkan gula dan garam (juga serbuk perasa bagi yang gemarkannya) secukup rasa. Tutup api setelah masak.


Petua :

- Masyarakat Arab lebih gemar mengisar halus sup mulukhiar ini supaya senang dihirup. Namun saya lebih suka mulukhiar dalam bentuk asal (berdaun) sebagaimana resepi yang diperkenalkan oleh ayahanda saya.

- Masyarakat Arab juga kerap memasukkan 'lisan usfur' dalam syurbah mereka. Ia mungkin sejenis herba masakan yang saya lupa bertanyakan kepada pemilik toko sewaktu berada di Mesir. Jadi saya tak mampu mengungkapkan apa sebenarnya lisan usfur di sini melainkan memang rupanya seperti lidah merpati, lembut dan sedap di makan bersama. Memadailah saya nyatakan bahawa jika minat mencuba, tiada salah anda memasukkan lisan usfur tersebut dalam mulukhiar anda.

- Bagi menyedapkan lagi syurbah mulukhiar anda, cuba masukkan udang kering dalam rencah semasa menumbuk tadi. Sengaja tak saya sebutkan awal kerana saya tahu di Mesir memang tiada dijual melainkan hanya di koperasi atau kedai negeri atau DPM sementelahan anda juga mungkin tidak membawanya sebagai bekal ketika mahu berpijak di negara orang. Bimbang jika anda kecur air liur mengalahkan perempuan mengandung sedangkan bahannya tiada. Namun saya tidak dapat menjamin rasanya masih kekal sedap seperti asal jika anda mencampurkan belacan sebagai ganti udang kering kerana selain belum pernah mencuba saya kira Arab pun tak pernah buat macam anda!

- Perkara mustahak yang anda perlu tahu ialah resepi mulukhiar ini terletak pada betapa likat dan berlendirnya syurbah ini. Hatta dikatakan bahawa anak dara Arab pun tak lulus untuk berumahtangga jika tidak tahu memasak mulukhiar dengan betul. Wallahu a’lam. Anda boleh tanya mereka sendiri sambil-sambil belanja mereka minum atau makan. Maka hendaklah anda pandai-pandai budget biarpun RM111b sanggup dibelanjakan -(baca: dibazirkan) untuk budak-budak yang belum tentu lagi jadi manusia mengikut budget 2011 berbanding dengan yang tengah berebut nak masuk universiti tapi tak kesampaian kerana miskin semasa meletakkan dedaun mulukhiar di dalam periuk berbanding air. Jika air terlalu banyak maka alamatnya cairlah syurbah anda dan hilanglah kenikmatannya. Anda kena rajin mengutip daunnya meskipun terasa malas ketika mahu 'menyiang', merendam dalam air garam bagi menjatuhkan benda asing yang halus seperti pasir dari daunnya dan terasa sudah terlalu banyak tatkala mahu menyumbat ke dalam periuk. Percayalah hasilnya nanti sangat sedap dan berbeza dengan apa yang anda telah fikirkan sebelumnya. Pandai-pandailah, ya. Kan anda semakin bebas menginjak dewasa dan sudah bisa berfikir sendiri. Namun jika anda seorang yang kurang atau tidak menggemari sayur maka amat malanglah sedari tadi anda mengikuti resepi ini kerana tiada hasil tambah yang mungkin anda perolehi melainkan kebencian dan suatu lagi nilai tolak dalam diri anda tatkala berada di negara orang.

- Bonda saya menyebut bahawa bahan likat yang terdapat dalam resepi mulukhiar ini ialah selulosa yang sebagaimana terdapat dalam bendi. Ia berfungsi sebagai bahan pelawas yang dapat membantu pesakit sembelit meredakan penderitaan mereka. Kerana itu amat rugi jika anda tidak berjaya menyerlahkan kehadiran bahan likat ini sewaktu menyediakannya di atas api.

Rupa pohon mulukhiar (kebetulan terjumpa 
dari sebuah laman masa nak posting)
- Ada orang cakap, selain daun jarjil, mulukhiar ini juga adalah resepi hebat (power) sehingga pak-pak Arab masih mampu menimang cahaya mata meskipun lanjut usia mereka. Anda percaya? Terserahlah sebab saya sedari sekolah menengah telah menelan resepi ini sebelum ke Mesir (ayahanda menanamnya. Anda juga boleh beli benihnya di kedai dan kemudian cubalah tanam di belakang atau di tepi rumah semasa pulang bercuti nanti, ok) tapi biasa-biasa saja.

- Semasa menyediakan mulukhiar ini, anda boleh juga memasukkan potongan daging, ayam, cebisan keropok keping atau bilis bagi menambahkan variasi syurbah anda. Ia dapat membantu mengembalikan keceriaan dan motivasi diri tatkala sunyi, dan rindu mula bertandang di hati lantaran jemu dengan masakan sendiri yang tak sedap, letih berada di negara orang yang sememangnya tak sama dengan di negeri sendiri serta hubungan sesama teman serumah yang semakin meruncing dek salah faham yang kecil. Namun jika anda seorang yang berfikiran vertikal, sila abaikan saranan ini kerana saya andaikan ia tidak memberi sebarang makna kepada anda.

- Hidangkan resepi ini bersama nasi putih dan anda bebas melantak bersama ikan goreng yang masih berasap. Rasanya saling tak tumpah seperti 'meranggos' bersama ikan singgang... terutama jika ada budu dan tempoyak. Alamat pensyarah lalu pun tak perasan (sekadar bidalan gantian yang mungkin lebih comel untuk warga mahasiswa yang jauh dari mak ayah dan mentua).


Resepi ini sebenarnya hanya membantu menambahkan kehangatan tubuh dengan adanya bahan-bahan seperti filfil asmar dan janzabil. Sebarang kehangatan lain seperti pedas telinga kerana mereguk ocehan-ocehan yang berlebihan di sini sangatlah saya kesali. Saya tersangatlah tidak mahu mewarisi bakat tersebut sebagaimana yang mungkin ada pada sesetengah chef kita. Mungkin sudah lama tidak mencoret, maka karat-karat masih tebal menyelaputi minda saya sehingga gagal membezakan apa yang perlu dan tidak dalam artikel ini kelak KELAP dan AKAR umpamanya mungkin boleh mengadakan bengkel untuk membedah genre artikel resepi sebagai bonus dan variasi tambahan.

Sekian dahulu pertemuan kali ini. Sekadar meminjam ayat skema dalam persuratan, maka saya memohon ampun dan maaf atas penampilan baru ini dengan sebarang kata-kata yang mengguris hati mana-mana pihak. Semoga Allah mengampuni diri saya dan anda semua. Salam Mujahadah 1432H buat semua!


Glosari :
 
Zikrayat   - kenangan.
Thaqafah   - pengetahuan.
Thaum   - bawang putih.
Filfil asmar   - lada hitam.
Janzabil   - halia.
Mathun   - dikisar / serbuk.
Lisan usfur   - sejenis herba yang kelihatan seperti lidah merpati. Kebiasaannya dicampurkan dalam sup.
Syurbah   - sup.
Thursday, September 23, 2010 | By: Anjung Hikmah
Tuesday, May 25, 2010 | By: Anjung Hikmah

BIDADARI- permata hijjaz 1431



Bidadari, bidadari
Temanilah resahku
Bidadari, bidadari
Tenangkanlah jiwaku

Sumpah setia hidup mati
Selamanya
Kerana kau isteriku
Isteriku tercinta pelengkap rusuk kiriku

Bidadari, bidadari
Jadilah pedampingku
Bidadari, bidadari
Jadilah sang setia

Kerna cinta cinta suci
Buktinya tidak pernah sepi
Sepi daripada cubaan yang tak terduga

Kau umpama bintang utara
Penunjuk jalan yang terang
Kau beri harapan saat ku jatuh
Bangun semula

Dan berikan sakti cintamu
Penawar racun berbisa
Dan ikatan kita cinta abadi hanya di syurga

Wednesday, May 5, 2010 | By: Anjung Hikmah

Tazkiyyah buat diriku..

Salam Mujahadah 1431H buat diriku…

Tatkala ini hanya tinggal sembilan hari saja lagi sebelum berakhirnya Jamadil Awal. Bermakna selepas itu hanya ada tiga bulan sebelum tibanya Ramadan. Maka apa ertinya tiga bulan ini kepada diri kita?

Buat sekian kalinya biar daku ingatkan diri sendiri terlebih dahulu tentang suatu artikel yang pernah sama-sama kita baca pada tahun lepas.


Kisah seorang pelumba amatur yang berasal dari tanah Afrika (lupa dari negara mana namun sememangnya jika diperhatikan betapa Allah mengurniakan salah satu kelebihan dengan kekuatan larian yang pantas berbanding dengan rupa paras yang mereka miliki) telah menyertai satu pertandingan marathon antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur. Dalam temuramah yang dijalankan selepas pertandingan tersebut, para wartawan bertanyakan tentang rahsia kejayaan beliau merangkul johan dalam pertandingan yang berprestij itu. Maka beliau menceritakan bahawa setelah mendengarkan tawaran hadiah yang lumayan bagi tempat pertama, beliau telah melakukan latihan dan persediaan selama tiga bulan secara bersungguh-sungguh. Hasilnya amat berbaloi apabila beliau dapat melakukan yang terbaik dan berjaya pula memperolehi kejayaan yang telah diidam-idamkan.

Beberapa pengajaran yang boleh dikutip ialah :

- Berapa ramai yang benar-benar bersungguh-sungguh mengejar mardhatillah atau sekurang-kurangnya ganjaran Ramadan setelah mendengar kelebihannya apabila datangnya Ramadan? Atau sekadar 'cakap tak serupa bikin' saja?

- Ramai bercita-cita untuk bersungguh-sungguh menghasilkan impak maksima dalam ibadah mereka tatkala hadirnya Ramadan. Namun yang terhasil hanyalah telur-telur kemalasan dan hipokrit semata-mata. Belumpun pertengahan Ramadan namun masjid-masjid dan surau-surau telah pun sunyi daripada sang jemaahnya. Sama seperti sebelum dan selepas kedatangan Ramadan layaknya.

- Punca ramai yang ‘mati pucuk’ sebelum tiba pada klimaks madrasah Ramadan lantaran diri sendiri yang kurang upaya dan tidak bersedia sepenuhnya baik fizikal mahupun mental. Mana mungkin diri yang tidak biasa tahan berjaga malam untuk beribadat tiba-tiba dapat bertahan hingga penghujung Ramadan tanpa sebarang latihan. Andai mampu sekalipun, cuba tanya ke mana hasilnya selepas perginya Ramadan? Kan kosong dan hampas jadinya. Jangan tanyalah pasal tadarus, zikir, selawat dan lain-lain lagi. Macam tak ada maknanya.


- Untuk menjadi johan dan berjaya dalam madrasah Ramadan, perlulah bersedia dengan latihan dan ujian sepanjang bulan tersebut terlebih dahulu sebelum menjelangnya hari yang dinanti-nantikan. Para salafus soleh telah membiasakan diri melakukan ibadah puasa, qiamullail, tadarus, zikir dan lain-lain lagi sedari enam bulan sebelum kedatangan Ramadan. Mereka juga tidak lupa berdoa memohon kepada Allah: “Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadan”.

- Hanya yang bersungguh-sungguh membuat persediaan sebelum kedatangan Ramadan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah atas keikhlasan mereka seperti Lailatul Qadar dan berupa istiqamah dengan ibadah serta akhlak mulia selepas berlalunya Ramadan. Oleh itu jadilah mereka hamba yang benar-benar terkesan dengan ibadahnya sesuai dengan janji Allah dalam firman-Nya : “Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar”.

Justeru wahai diriku… sudahkah engkau bersedia dengan Ramadan yang bakal menjelma? Atau sekali lagi akan dipenuhi lagha dan menjadi sia-sia sebagaimana Ramadan yang lalu? Memadailah fiman Allah yang bermaksud: “Bersegeralah berlumba mengerjakan (amalan) kebaikan…”, jika engkau tiada mahu rugi.



Glosari

Mardhatillah    : keredhaan Allah.
Istiqamah    : konsisten.
Lagha        : lalai.
Friday, December 18, 2009 | By: Anjung Hikmah

Salam 1431H...

Salam Mujahadah...

Pejam celik... pejam celik... sedar-sedar kita telahpun melangkah ke tahun 1431H. Agak-agaknya apalah yang telah berjaya kita capai sepanjang tahun lalu? Banyak yang mujabahkah, atau yang salibah lebih banyak? Semua itu perlu diselidiki dihitungi betul-betul agar peluang yang dikurniakan Allah nanti tidak dipersia-siakan.

Memang telah lama dan agak jarang saya bertandang ke blog ini. Dalam tempoh itu banyak juga perjalanan yang perlu ditempuhi. Ada kala suka dan ada kalanya duka. Begitulah lumrah resam adat yang menjadi asam garam kehidupan. Andai kita menganggap bahawa setiap langkah dan peristiwa yang berlaku itu sebagai tarbiah daripada Allah untuk menilai sejauhmana tahap iman kita, pastinya hidup ini jauh daripada akan rasa resah dan gelisah. Kerana sifat seorang mukmin itu sentiasa menghiasi kehidupannya dengan mengucapkan tasbih, tahmid dan tahlil kepada Allah. Hati pasti tenang bila bersama Tuhan dan gundah apabila jauh daripada-Nya.

Di awal kehadiran tahun 1431H yang amat bermakna ini patutlah menjadi renungan dan muhasabah buat kita semua. Ini kerana dengan nikmat daripada Allah lah kita bakal menempuh sekali kehidupan ini. Adakah kita bakal mengulangi kisah yang sama dalam riwayat kehidupan kita atau di sana akan wujud perubahan. Sudah tentulah tak akan sama 100%. Namun wajar kita sama-sama bertanya, tegakah kita mengulangi sisi-sisi kehidupan kita yang penuh alpa dan leka? Tulisan ini lebih untuk mengingati dan mengajak diri saya sendiri -sebelum kepada pembaca semua- agar bangkit membuang segala amalan yang merugikan sepanjang tahun lalu. Lantaran hidup ini adalah sementara. Tiada yang mengetahui bila Malaikat Izrail bakal kita menghadap Rabbul 'Alamin melainkan Allah jua.

Sayugia tahun hijrah yang baru ini dipenuhi dengan amalan hasanaat yang semaksimanya manakala segala perlakuan yang membawa kepada mungkar dan sayyiaat itu dapat disifarkan. Sayangi setiap insan yang berada di sekeliling kita. Tebarkan seruan Islam dalam segenap kisi kehidupan. Bertaubatlah selagi matahari belum terbit daripada barat. Semoga dengan itu kita semua beroleh kejayaan di dunia dan juga di akhirat.



Salam Mujahadah 1431H ! Semoga sedetik masa berlalu semakin bertambah taqwa kita kepada Allah !







Glosari :

Mujabah    : positif
Salibah     : negetif
Rabbul 'Alamin : Tuhan Sekalian Alam
Hasanaat : kebaikan-kebaikan
Sayyiaat  : keburukan-keburukan