Salam Mujahadah 1431H buat diriku…
Tatkala ini hanya tinggal sembilan hari saja lagi sebelum berakhirnya Jamadil Awal. Bermakna selepas itu hanya ada tiga bulan sebelum tibanya Ramadan. Maka apa ertinya tiga bulan ini kepada diri kita?
Buat sekian kalinya biar daku ingatkan diri sendiri terlebih dahulu tentang suatu artikel yang pernah sama-sama kita baca pada tahun lepas.
Kisah seorang pelumba amatur yang berasal dari tanah Afrika (lupa dari negara mana namun sememangnya jika diperhatikan betapa Allah mengurniakan salah satu kelebihan dengan kekuatan larian yang pantas berbanding dengan rupa paras yang mereka miliki) telah menyertai satu pertandingan marathon antarabangsa bertempat di Kuala Lumpur. Dalam temuramah yang dijalankan selepas pertandingan tersebut, para wartawan bertanyakan tentang rahsia kejayaan beliau merangkul johan dalam pertandingan yang berprestij itu. Maka beliau menceritakan bahawa setelah mendengarkan tawaran hadiah yang lumayan bagi tempat pertama, beliau telah melakukan latihan dan persediaan selama tiga bulan secara bersungguh-sungguh. Hasilnya amat berbaloi apabila beliau dapat melakukan yang terbaik dan berjaya pula memperolehi kejayaan yang telah diidam-idamkan.
Beberapa pengajaran yang boleh dikutip ialah :
- Berapa ramai yang benar-benar bersungguh-sungguh mengejar mardhatillah atau sekurang-kurangnya ganjaran Ramadan setelah mendengar kelebihannya apabila datangnya Ramadan? Atau sekadar 'cakap tak serupa bikin' saja?
- Ramai bercita-cita untuk bersungguh-sungguh menghasilkan impak maksima dalam ibadah mereka tatkala hadirnya Ramadan. Namun yang terhasil hanyalah telur-telur kemalasan dan hipokrit semata-mata. Belumpun pertengahan Ramadan namun masjid-masjid dan surau-surau telah pun sunyi daripada sang jemaahnya. Sama seperti sebelum dan selepas kedatangan Ramadan layaknya.
- Punca ramai yang ‘mati pucuk’ sebelum tiba pada klimaks madrasah Ramadan lantaran diri sendiri yang kurang upaya dan tidak bersedia sepenuhnya baik fizikal mahupun mental. Mana mungkin diri yang tidak biasa tahan berjaga malam untuk beribadat tiba-tiba dapat bertahan hingga penghujung Ramadan tanpa sebarang latihan. Andai mampu sekalipun, cuba tanya ke mana hasilnya selepas perginya Ramadan? Kan kosong dan hampas jadinya. Jangan tanyalah pasal tadarus, zikir, selawat dan lain-lain lagi. Macam tak ada maknanya.
- Untuk menjadi johan dan berjaya dalam madrasah Ramadan, perlulah bersedia dengan latihan dan ujian sepanjang bulan tersebut terlebih dahulu sebelum menjelangnya hari yang dinanti-nantikan. Para salafus soleh telah membiasakan diri melakukan ibadah puasa, qiamullail, tadarus, zikir dan lain-lain lagi sedari enam bulan sebelum kedatangan Ramadan. Mereka juga tidak lupa berdoa memohon kepada Allah: “Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadan”.
- Hanya yang bersungguh-sungguh membuat persediaan sebelum kedatangan Ramadan akan mendapat ganjaran setimpal daripada Allah atas keikhlasan mereka seperti Lailatul Qadar dan berupa istiqamah dengan ibadah serta akhlak mulia selepas berlalunya Ramadan. Oleh itu jadilah mereka hamba yang benar-benar terkesan dengan ibadahnya sesuai dengan janji Allah dalam firman-Nya : “Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang daripada perbuatan keji dan mungkar”.
Justeru wahai diriku… sudahkah engkau bersedia dengan Ramadan yang bakal menjelma? Atau sekali lagi akan dipenuhi lagha dan menjadi sia-sia sebagaimana Ramadan yang lalu? Memadailah fiman Allah yang bermaksud: “Bersegeralah berlumba mengerjakan (amalan) kebaikan…”, jika engkau tiada mahu rugi.
Glosari
Mardhatillah : keredhaan Allah.
Istiqamah : konsisten.
Lagha : lalai.